Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan kononnya beliau meluluskan kewarganegaraan kepada pendatang asing dari China.
Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu adalah fitnah semata-mata.
Saifuddin menegaskan, kelulusan kewarganegaraan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang telah lama termaktub.
“Kenyataan ini adalah fitnah. Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang didakwa dalam gambar yang tersebar.
“Sepanjang tahun lalu, saya telah banyak memberikan penjelasan mengenai isu kewarganegaraan, namun masih ada pihak yang terus memainkan sentimen berbaur 3R bagi mengelirukan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut beliau, tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.
Sehubungan itu, Saifuddin menggesa rakyat supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan memastikan kesahihan sesuatu dakwaan sebelum menyebarkannya.
“Saya ingin mengingatkan bahawa menularkan fitnah dan berita palsu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab serta boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya juga berkongsi pautan penjelasan terdahulu mengenai isu kewarganegaraan ini bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat,” katanya.
0 Ulasan