Lim Kit Siang pertahankan Teresa Kok dalam isu siasatan SPRM

 


Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mempertahankan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang kini berdepan kecaman termasuk daripada ahli partinya sendiri susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua bekas pegawainya.

Kit Siang berkata, sekiranya isu tersebut menjejaskan peluang Teresa dalam pemilihan DAP akan datang, ia adalah sesuatu yang amat malang.  

"Saya telah bertanyakan kepada Teresa mengenai perkara ini dan beliau telah menceritakan keseluruhan kisah sebenar kepada saya. 

"Saya percaya beliau tidak melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa dan tidak bertanggungjawab terhadap penahanan dua bekas pegawainya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Menurut beliau, Teresa sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti, kebertanggungjawaban, ketelusan, tadbir urus yang baik serta demokrasi.  

Siasatan SPRM terhadap dua bekas pegawai Teresa Kok dipercayai berkaitan dengan projek pembelian papan pintar untuk beberapa sekolah di Parlimen Seputeh. 

Difahamkan, projek tersebut dikatakan mempunyai unsur penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan peruntukan yang diberikan kepada pusat khidmat wakil rakyat.  

Kes itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan ahli DAP, dengan ada yang mendesak Teresa memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang timbul, manakala pihak lain pula mempertahankan beliau daripada dipersalahkan atas tindakan bekas pegawainya.

BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan