Suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sapura Energy Berhad adalah pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas yang strategik untuk ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan modal itu bukan dalam bentuk geran dan ia bertujuan membantu Sapura Energy melangsaikan hutangnya dengan kira-kira 2,000 vendor kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor minyak dan gas, yang majoritinya merupakan syarikat Bumiputera.
Menurut beliau, langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat berkenaan bagi memastikan para pekerja tempatan yang telah lama tertunggak bayaran, menerima hak mereka serta menyelamatkan keseluruhan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.
"Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan syarikat.
"Dalam proses penstrukturan semula, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan dan satu pasukan pengurusan baharu telah dilantik bagi melaksanakan proses tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar turut menjelaskan bahawa proses audit telah dilaksanakan dan satu lagi penilaian ketekunan wajar (due diligence) akan dilakukan sebagai prasyarat sebelum memuktamadkan suntikan modal tersebut.
"Penemuan daripada proses due diligence ini akan dikongsikan dengan agensi penguatkuasaan berkaitan, termasuk Suruhanjaya Sekuriti, bagi menentukan sama ada tindakan lanjut perlu diambil ke atas mana-mana pihak," tambahnya.
Beliau menegaskan, Kerajaan MADANI mengutamakan ketelusan serta amalan tadbir urus yang baik dalam setiap keputusan yang dibuat.
0 Ulasan