UMNO sedang membunuh dirinya sendiri - Abdul Hadi

 


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO sedang membunuh dirinya sendiri apabila memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP.

Menurut beliau, terdapat kalangan kepimpinan UMNO yang memilih untuk menjadi parti menumpang dalam PH, meskipun gabungan itu didominasi oleh DAP yang membawa konsep sekular dan meminggirkan Islam serta kepimpinan Melayu dan bumiputera.

"Kononnya, tindakan ini bertujuan menguatkan semula UMNO, tetapi hakikatnya ia lebih kepada usaha menyelamatkan diri daripada terjerat dalam kes mega rasuah dan pelbagai isu lain," katanya dalam Minda Presiden PAS hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini jelas menunjukkan kedudukan UMNO dalam kerajaan Madani.

"Guan Eng berkata, DAP tidak pernah dikuasai UMNO semasa menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila berada dalam kerajaan. 

"Kenyataan ini memperlihatkan bahawa UMNO yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong," katanya.

Menurut beliau, parti-parti Melayu-Islam dalam PH seperti Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini hanya menjadi suara bagi pihak DAP, manakala UMNO pula semakin terpukau dengan jawatan serta projek besar yang diberikan.

"Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar atau Exco, malah ada yang menagih projek mega. 

"Kesemuanya seolah-olah menjadi semut yang membunuh diri sendiri dalam gula yang manis," ujarnya.

Abdul Hadi turut menolak dakwaan bahawa PAS bertanggungjawab melemahkan UMNO, sebaliknya menyifatkan parti itu sebagai 'kelekatu yang terjun ke dalam api' kerana tertarik kepada cahaya yang akhirnya membakar diri sendiri.

Jelas beliau, PAS pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini, namun tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam dan berpandukan firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9 yang menetapkan garis sempadan dalam kerjasama dengan bukan Islam.

"Allah telah menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan kalangan bukan Islam, iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem, serta menolak pihak yang menentang Islam dan cuba menyingkirkan bangsa Melayu serta bumiputera," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hadi mengajak pemimpin UMNO yang telah tersilap langkah agar kembali ke pangkal jalan demi menjaga kepentingan Islam dan umat Melayu di negara ini.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan