PAS sekali lagi mendesak Kerajaan Madani supaya bertindak tegas dalam memelihara kesucian Islam serta memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kebelakangan ini semakin banyak pihak mempermainkan kesucian dan urusan Islam tanpa rasa bersalah, termasuk menerusi penghinaan agama yang tular di media sosial.
Menurutnya, yang terbaharu adalah penularan video TikTok oleh Vijayan Savarinathan yang jelas memperlekehkan agama Islam.
“Lebih membimbangkan, tindakan bersifat provokatif ini bukan sahaja datang daripada rakyat biasa, malah ada juga pemimpin dalam kerajaan yang mengeluarkan kenyataan mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam serta gesaan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu untuk Islam dan bukan Islam.
Menurut Tuan Ibrahim, tindakan seumpama itu menunjukkan ketidakpatuhan terhadap Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, selain menggugat bidang kuasa pihak berkuasa agama serta kepentingan sah umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam serta mengabaikan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Saya menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam agar bangkit mempertahankan kesucian agama Islam daripada diperlekehkan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat supaya terus mengamalkan sikap saling menghormati bagi menjaga keharmonian dalam masyarakat serta menjadikan Ramadan sebagai bulan memperkukuh perpaduan dan nilai keislaman.
“Marilah kita berdoa agar Malaysia menjadi negara yang Allah sebut sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur,” katanya.
0 Ulasan