Bekas pemimpin Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang juga aktivis politik, Dr Amran Ahmad hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini bagi membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel palsu yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini, yang secara tidak sah menggunakan nama dan gambar beliau.
Amran berkata, artikel bertajuk 'Antara nukilan Azizulhasni dan keprihatinan menteri' didakwa mengandungi pujian melampau terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut beliau, ia jelas bertentangan dengan pendirian politiknya selama ini yang dikenali umum sebagai pengkritik lantang terhadap pimpinan DAP.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya menulis artikel tersebut.
"Ia adalah satu pemalsuan identiti dan cubaan untuk menjatuhkan reputasi serta memperdaya pembaca seolah-olah saya telah beralih sokongan kepada DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amran berkata, tindakan Malaysiakini itu telah mengakibatkan beliau dikecam hebat dalam media sosial dan mengalami tekanan emosi susulan penghinaan serta tohmahan yang dilemparkan oleh masyarakat, khususnya dari kalangan pengikut beliau sendiri.
Beliau juga sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap portal berkenaan atas dakwaan fitnah dan pencemaran nama baik.
“Saya tidak akan berdiam diri. Ini bukan sahaja soal maruah peribadi, tetapi juga integriti dunia kewartawanan yang telah lama saya perjuangkan,” tegasnya.
Dalam masa terdekat, Amran dijangka akan memfailkan tuntutan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab serta menuntut permohonan maaf terbuka dan penarikan semula artikel berkenaan.
0 Ulasan