Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, cerita kerajaan tebuk atap berakhir dengan kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kelmarin.
Menurut beliau, kemenangan besar UMNO tiga kali berturut-turut di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning adalah isyarat kuat kepada PN.
"Jangan bermimpi mahu menubuh kerajaan tebuk atap, katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.
Mohd. Puad berkata, ahli-ahli UMNO mempunyai semangat kental dan tiada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berpaling tadah.
Selain itu katanya, Kerajaan Perpaduan sudah melepasi tempoh tiga tahun dan tempoh 22, 17 dan 15 bulan yang berbadi.
"PRK Ayer Kuning telah mengajar PN jangan bawa cerita dongeng. Rakyat mahu kerajaan stabil.
"Tunggu sahaja Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) atau paling dekat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah," jelasnya.
Dalam hantaran berasingan, Mohd. Puad berkata, PN khususnya PAS terkesan teruk kerana kalah PRK DUN Ayer Kuning.
Menurut beliau, naratif PAS gagal mengulangi gelombang hijau PRU-15 justeru parti itu sepatutnya melupakan naratif negara Islam.
"Akibatnya PN sukar mencari rakan parti bukan Melayu yang berkesan. Gerakan terlalu kerdil bagi membantu PN.
"Hingga hari ini PN tidak ada parti orang India macam MIC," katanya.
Mohd. Puad percaya bahawa PAS adalah halangan besar bagi PN mencari rakan komponen yang berpengaruh.
"Oleh itu PAS perlu bawa slogan baharu yang lebih universal," katanya.
0 Ulasan