Isu Jalur Gemilang: Adakah Menteri Pendidikan akan ambil tanggungjawab?

 


Pemuda Gerakan telah membuat laporan polis semalam terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan penggunaan Jalur Gemilang yang salah dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Pemangku Ketuanya, Lee Boon Shian berkata, hantaran yang dipercayai dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI) itu jelas memaparkan imej yang menyimpang daripada versi rasmi bendera Malaysia dan satu kesalahan besar yang mencalarkan simbol kebangsaan.

Menurut beliau, Jalur Gemilang bukan sekadar imej grafik malah ia adalah lambang penyatuan, perjuangan, dan kedaulatan negara. 

"Menggunakannya secara salah, lebih-lebih lagi oleh sebuah kementerian, adalah satu kelalaian serius yang memberi kesan kepada maruah negara," katanya dalam kenyataan media semalam.

Boon Shian berkata, sebelum ini, apabila akhbar Sin Chew Daily melakukan kesilapan yang sama hanya beberapa hari sebelum insiden KPM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengeluarkan kenyataan yang keras, mendakwa bahawa tindakan itu boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan menjatuhkan imej negara. 

Menurut beliau, kesilapan itu dilakukan oleh sebuah entiti swasta dan sudah dianggap serius. 

"Apatah lagi apabila kesilapan yang sama berlaku di peringkat kementerian kerajaan, yang sepatutnya lebih berhemah dan bertanggungjawab," jelasnya.

Boon Shian menambah, dalam insiden Sin Chew, editor dan timbalan editor akhbar berkenaan mengambil tanggungjawab penuh dan meletakkan jawatan sebagai tanda integriti dan penghormatan kepada rakyat. 

"Maka timbul persoalan besar — siapa pula yang akan bertanggungjawab dalam KPM? 

"Adakah Menteri Pendidikan akan tampil ke hadapan? Atau Ketua Pengarah Pendidikan wajar mengambil tanggungjawab?" soalnya.

Katanya, Pemuda Gerakan berpendapat bahawa tindakan sewajarnya mesti diambil. 

Beliau berkata, ketelusan, integriti dan akauntabiliti perlu dijunjung tinggi dalam semua peringkat pentadbiran. 

"Jika rakyat biasa dan media dikenakan tindakan, kementerian juga tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab," tegasnya.

Boon Shian berkata, Pemuda Gerakan menggesa supaya kerajaan bukan sahaja mengambil tindakan pembetulan segera, tetapi juga menunjukkan komitmen terhadap prinsip keadilan yang konsisten. 

"Bendera Malaysia bukan milik mana-mana pihak, ia milik semua rakyat. Menghormatinya adalah kewajiban kita bersama," katanya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

1 Ulasan