Ustaz Firdaus Wong Wai Hung tak pernah sertai Chingay

 


Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menyatakan beliau tidak pernah menyertai acara Chingay.

Berikut adalah kenyataan beliau dalam Facebook semalam:

Saya menerima hantaran ini dari beberapa sahabat tentang penglibatan Menteri Besar Kedah dalam perarakan Chingay. Saya bukannya mufti yang akan memberikan hukum tetapi saya cuba memberikan sedikit maklumat tentang asal usul Chingay ini.
Menurut Jabatan Warisan Negara, Chingay telah diisytiharkan sebagai antara salah satu elemen persembahan dalam Warisan Kebangsaan 2012 yang mana majlis pengisytiharan telah berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad pada 10 Mei 2012.
Apakah asal usul Chingay?
Chingay merupakan persembahan perarakan yang telah wujud berabad lamanya di Malaysia. Chingay diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina. Ianya bersempena merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina.
Ia juga dikenali sebagai perarakan Dewi Kwan Yin (Goddess of Mercy) yang merupakan kemuncak kepada perayaan Chap Goh Meh. Persembahan Chingay ini dikaitkan dengan acara agama dan budaya tradisi masyarakat etnik Tionghua.
Perarakan Chingay diraikan pertama kalinya pada tahun 1919 semasa pesta perarakan di jalan-jalan George Town dan Butterworth. Perarakan Chingay yang kedua telah diadakan pada tahun 1926 dalam perayaan Hari Jadi Tuhan
Chingay ini dikaitkan dengan seni persembahan jalanan di mana terdapatnya pelaku yang akan melakukan aksi mengimbangi bendera gergasi bersaiz 25 hingga 32 kaki (7.6 hingga 9.8 meter) dengan ketinggian kira-kira 60 paun (27 kilogram).
Pada awalnya perayaan Chingay di Pulau Pinang dikaitkan dengan amalan dalam upacara perayaan bagi meraikan dewa-dewa Tionghua semata-mata, namun kemudian berkembang menjadi lebih luas dan tidak hanya sebagai persembahan tradisional namun juga diserikan dengan akrobatik moden.
Antara yang menarik adalah mengangkat tiang-tiang bendera dengan menggunakan mulut.
Perarakan Chingay Johor Bahru adalah bertemakan atas penyembahan lima dewa utama daripada lima kumpulan puak utama Tiong-Hua di Johor Bahru, iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew.
Oleh itu, Perarakan Chingay juga dimaksudkan sebagai ‘Perarakan Dewa’ dalam bahasa etnik berkenaan, sebagai tanda ucapan terima kasih kepada dewa.
Patung-patung dewa yang disembah dibawa keluar dari kuil dan dibawa beramai-ramai di jalan-jalan bandar sehingga orang ramai dapat menerima berkat dari dewa-dewa tersebut.
Pesta Perarakan Chingay ini juga disertai kumpulan tarian singa dan naga, persembahan opera Tiong-Hua, tarian-tarian eknik Tiong-Hua, persembahan akrobatik kung-fu, akrobatik kaki-kayu, patung ‘kepala-besar’ yang berwarna-warni, bendera-bendera gergasi setinggi 6m, persembahan Gendang 24 Perayaan, kereta berhias bunga dan tanglung dari pelbagai persatuan dan syarikat-syarikat ternama.
Masyarakat perlu memahami apabila masyarakat Cina menyebut perkataan 文化 wen hua (budaya), ianya juga boleh merujuk kepada budaya seperti makanan, pakaian, seni tetapi pada masa yang sama kepercayaan & perayaan yang berasal usul atau mempunyai elemen agama juga dipanggil sebagai 文化 wen hua (budaya) kerana di dalamnya juga terdapat elemen seni, makanan tertentu, pakaian, warna tertentu, ucapan tertentu dan sebagainya.
Sebagaimana saya pernah menulis di sini - https://www.facebook.com/share/v/1ANiV9KEmU/ (video ini tidak dapat ditonton di Malaysia selepas SKMM meminta Meta untuk mengehadkan video itu hanya di luar Malaysia - https://www.facebook.com/share/p/1EQp2MqJtE/) tentang penglibatan PMX dalam upacara menitik mata tarian singa 开光 (kāi guāng - buka cahaya) yang mempunyai elemen khurafat dan bersangka baik bahawa PMX tidak diberikan info yang tepat tentang upacara ‘eye-dotting’, saya juga bersangka baik bahawa Menteri Besar Kedah juga tidak diberikan maklumat tepat tentang asal usul Chingay yang juga mempunyai elemen agama & khurafat.
Berkenaan hukum, boleh rujuk kepada Jabatan Agama serta mufti-mufti kerana saya hanya memberikan maklumat sebagai kesedaran kepada awam. Secara peribadi, saya tidak pernah menyertai atau terlibat dalam Chingay atau mana-mana upcara yang mempunyai elemen khurafat.
Untuk memupuk perpaduan & keharmonian serta toleransi tidak semestinya kita mesti meraikan semua perayaan bersama.
Memadailah kita hormat hak satu sama lain untuk meraikan apa yang mahu diraikan tanpa perlu kita perlu terasa andai pihak lain tidak mahu turut serta.
Sebagaimana saya tidak pernah melihat mana-mana ahli politik beragama Hindu yang warak akan bersama-sama melapah serta mengedarkan daging lembu ketika musim korban bersama pengundi kawasan mereka, saya percaya begitu juga sebaliknya untuk ahli politik Muslim tidak perlu melakukan sambutan keagamaan masyarakat lain untuk menunjukkan kebersamaan mahupun meraih undi.
Saya sebagai Muslim tidak akan berkecil hati atau merasa marah apabila ahli politik beragama Hindu tidak turut serta melapah & mengedarkan daging lembu. Sebagai Muslim saya diajar menghormati hak penganut agama lain yang mempunyai pantang larang mereka yang tersendiri. Wallahualam
*Boleh baca lanjut tentang Chingay oleh Jabatan Warisan Negara di sini; https://www.heritage.gov.my/.../CAW.../CHINGAY%20-EN.pdf

Catat Ulasan

1 Ulasan