Kekalahan teruk bukti naratif lapuk PN sudah tak laku - Puad

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam membuktikan naratif lapuk mereka sudah tidak laku.

Beliau berkata, dakwaan pihak lawan kononnya Barisan Nasional (BN) menang dalam keadaan kalah hanyalah cemuhan untuk menyedapkan hati selepas menerima kekalahan lebih teruk.

“Pihak lawan dan pihak ketiga yang tidak suka BN menang mendakwa ‘BN menang dalam kalah’. Itu adalah cemuhan untuk sedapkan hati yang luka kerana PN kalah lagi teruk,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fakta sebenar menunjukkan majoriti undi BN bertambah daripada 2,213 kepada 5,006 undi, manakala undi PN pula merosot daripada 6,812 kepada 6,059.

“Undi BN pula meningkat dari 9,088 kepada 11,065. BN kalah satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) sahaja iaitu di PDM Kampung Keramat,” katanya.

Menurut Mohd. Puad, pihak kecewa juga berhujah bahawa BN sepatutnya mendapat 15,963 undi berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menggabungkan jumlah undi BN dan Pakatan Harapan (PH), namun dakwaan itu tidak berasas.

“Ke mana pergi 6,875 undi? Kira atas kertas tidak terpakai dalam politik ‘game of numbers’,” ujarnya.

Katanya, pertambahan 1,977 undi kepada BN adalah pencapaian baik dan tiada bukti wujudnya pengundi BN-PH beralih sokongan kepada PN.

“Kalau paling tadah, PN patut dapat sedikit daripada 6,875 undi itu. Tetapi atas kertas, satu undi pun PN tidak dapat,” katanya.

Beliau menambah, apa yang jelas tiada sabotaj atau boikot berlaku dalam kalangan jentera PH sepanjang kempen PRK berkenaan.

“Jentera PH tetap aktif membantu. Ayer Kuning menguatkan lagi kerjasama BN-PH,” katanya.

Mengulas soal peratusan keluar mengundi rendah, Mohd. Puad berkata, ia bukan alasan yang boleh digunakan sebelah pihak sahaja kerana kedua-dua parti terkesan.

“Soal peratus keluar mengundi rendah tidak boleh dijadikan alasan sebelah pihak. Kedua-dua pihak terkesan. BN juga terkesan,” katanya.

Beliau juga menegaskan kekalahan teruk PN membuktikan hujah-hujah lapuk yang dimainkan parti itu sudah tidak lagi relevan kepada pengundi.

“Kekalahan teruk PN jadi bukti naratif lapuk tidak laku. Hujah 3R; tangguh umrah, isu UMNO-DAP dan jangan tangguh kemenangan negara Islam semakin tidak relevan,” katanya.

Mohd. Puad turut membuat perbandingan dengan sukan bola sepak bagi memperjelaskan situasi berkenaan.

“JDT tetap juara walaupun menang 2-1. Itu bukan menang dalam kalah. Di Piala Dunia, ada juara ditentukan melalui sepak penalti. Maka apa ada hal jika tidak dapat 15,963 undi?” katanya.

Calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan menewaskan calon PN, Abd. Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. 

Beliau beroleh 11,065  undi manakala Abd. Muhaimin 6,059 undi dan Bawani 1,106 undi.

Ustaz Yusri mengatasi dengan majoriti 5,006 undi bagi mengekalkan penguasaan BN di kerusi tersebut.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

1 Ulasan