Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along hari ini:
Komuniti Orang Asli Kelantan merasa sangat kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 23 April lalu.
Kenyataannya yang menyatakan bahawa tidak adanya tanah adat di Kelantan.
Bagi kami masyarakat Orang Asli kenyataan itu sebagai suatu kenyataan yang jahil, tidak bertanggungjawab, mengelirukan, tidak berlandaskan kepada fakta sebenar dan cuba menutupi kebenaran yang secara jelas, terang dan nyata telah diketahui oleh umum.
Kenyataan Menteri Besar Kelantan ini juga secara jelas, terang dan nyata telah bercanggah dengan dapatan mahkamah di Malaysia yang melibatkan kes-kes tanah yang melibatkan Orang Asli.
Kerana kes-kes ini tidak hanya melibatkan negeri-negeri lain (seperti, Perak, Pahang, Selangor dan Johor) tetapi juga turut melibatkan Kelantan.
Sebagai makluman, di Kelantan terdapat dua kes mahkamah yang melibatkan kes tanah Orang Asli, iaitu kes tanah Orang Asli Pos Belatim yang telah berlangsung pada 2017 dan kes tanah Orang Asli Pos Balar.
Dapatan bagi kes-kes ini secara jelas, terang dan nyata telah memutuskan Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah mereka, yang juga di kenali sebagai kawasan Tanah dan Wilayah Adat.
Disebabkan oleh itu, kami Masyarakat Orang Asli terutamanya di Kelantan berpendapat bahawa kenyataan Menteri Besar ini sebagai suatu kenyataan yang jahil, tidak bertanggungjawab, mengelirukan, tidak berlandaskan kepada fakta sebenar dan cuba menutupi kebenaran.
Kenyataan ini juga boleh disifatkan sebagai suatu tindakan yang menghina mahkamah kerana umum telah maklum bahawa dapatan mahkamah juga merupakan bahagian dari undang-undang yang diakui oleh sistem perundangan kita.
Secara nyata, isu ini berlaku disebabkan oleh keengganan pihak kerajaan, sama ada negeri atau Persekutuan, dalam mengakui hak-hak Orang Asli walaupun mahkamah-mahkamah tinggi Malaya yang telah secara berulang kali menyatakan bahawa tanah adat juga wujud di Semenanjung Malaysia.
Ketidakadaan political will di pihak kerajaan sama ada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah menyebabkan isu yang berkaitan isu ini terus berlarutan tanpa penyelesaian.
Sehubungan dengan itu, kami menggesa agar pihak kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan untuk mengambil tindakan yang sepatutnya dalam mempromosi dan melindungi hak-hak Orang Asli sebagai mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan kes-kes mahkamah tanah Orang Asli.
Pindaan ke atas undang-undang yang berkaitan dengan hak tanah Orang Asli, termasuk memasukkan istilah TANAH ADAT ke dalam undang-undang yang berkaitan hak tanah Orang Asli.
Proses pindaan ini juga harus mengadaptasi prinsip-prinsip Keizinan Berasaskan Makluman, Awal, Bebas dan Telus (IMABT).
Usaha ini digesa untuk segera diambil oleh pihak kerajaan bagi melindungi kepentingan dan hak-hak Orang Asli yang saban hari tertindas oleh ketidakpedulian pihak-pihak yang terbabit.
1 Ulasan
takkanlah pak lebai menipu
BalasPadam