PEKIDA bantah cadangan tukar nama Keretapi Tanah Melayu

 


PEKIDA Malaysia membantah sekeras-kerasnya cadangan bekas editor sukan Malay Mail, Johnson Fernandez agar nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ditukar atas alasan kononnya ia sudah lapuk dan tidak relevan dengan zaman moden. 

Presidennya, Datuk Mohd. Foad Mat Isa berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak berasas, bahkan merupakan penghinaan terhadap sejarah, identiti dan kedaulatan negara yang berpaksikan Tanah Melayu.

Menurut beliau, perlu ditegaskan bahawa Tanah Melayu bukan sekadar nama, ia adalah asas pembentukan negara ini. 

"Merujuk kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, istilah 'Melayu' ditakrifkan dengan jelas sebagai identiti yang berkait rapat dengan Islam, bahasa Melayu, dan budaya Melayu, yang wujud dan berkembang di Tanah Melayu. 

"Istilah ini tidak pernah lapuk malah terus menjadi rukun kepada kewujudan Malaysia hari ini," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Mohd. Foad menambah, Malaysia sendiri lahir daripada Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 1948, menggantikan Malayan Union. 

Beliau memberitahu, ia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudiannya menjadi Malaysia pada 16 September 1963 selepas penyertaan Sabah dan Sarawak. 

"Maka akar kepada Malaysia adalah Tanah Melayu dan menafikan istilah ini bermakna menafikan asal usul kewujudan negara ini," jelasnya.

Mohd. Foad berkata, KTMB yang ditubuhkan sejak 1885 bukan sahaja berperanan sebagai pengangkutan awam, tetapi juga sebagai institusi warisan negara yang membawa simbol kedaulatan dan sejarah perjuangan bangsa. 

Katanya, nama 'Keretapi Tanah Melayu' adalah lambang maruah, jati diri dan kesinambungan sejarah tanah air ini. 

"Ia bukan sekadar istilah geografi tetapi satu manifestasi identiti bangsa dan negara," ujarnya.

Mohd. Puad berkata, PEKIDA Malaysia memandang serius sebarang cubaan menukar nama yang berakar daripada Tanah Melayu kerana ia boleh membuka ruang kepada agenda penghakisan identiti nasional dan pembentukan naratif baru yang mencairkan sejarah asal usul bangsa. 

Menurut beliau, ini berpotensi membawa kepada penafian terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3), hak-hak istimewa orang Melayu (Perkara 153) serta kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152).

"Kepada pihak yang mencadangkan perubahan ini, PEKIDA Malaysia ingin menegaskan jangan cuba sentuh tiang seri negara. 

"Tanah Melayu bukan barang antik, ia adalah nadi dan roh negara ini," tegasnya.

Mohd. Poad berkata, PEKIDA Malaysia menyokong sepenuhnya pendirian KTMB untuk mengekalkan nama asalnya, dan mengajak semua institusi negara untuk mempertahankan legasi Tanah Melayu sebagai warisan yang tak akan lapuk dek zaman.

“Tanah Melayu adalah jiwa Malaysia –siapa yang cuba memadamkannya, sebenarnya sedang cuba memadamkan sejarah negara ini sendiri,” katanya.

Catat Ulasan

1 Ulasan