MENELUSURI DINAMIKA POLITIK DALAM SUASANA TENANG,
STRATEGI TERTUTUP DAN KUASA MAJORITI SENYAP
Pola Pengundian Pilihan Raya Kecil N.48 Ayer Kuning
Pendahuluan
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning merupakan PRK ke-13 selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PR15). Secara keseluruhan, kempen pilihan raya ini berjalan dalam suasana tenang dengan perubahan ketara pada gaya kempen yang lebih senyap dan tertutup. Dalam suasana yang kelihatan tenang ini, terselindung strategi parti-parti bertanding yang lebih bersifat mikro dan taktikal.
Secara tradisinya, kawasan DUN Ayer Kuning adalah kerusi selamat buat Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik sejak PRU-15 lalu telah membawa perubahan signifikan terhadap demografi pengundi serta pola pengundian di kawasan ini.
Kempen Senyap dan Peralihan Pendekatan Strategik
PRK N.48 Ayer Kuning menyaksikan satu fenomena menarik dalam gaya kempen politik apabila pendekatan konvensional seperti ceramah berskala besar sudah tidak lagi menjadi pilihan utama parti politik. Sebaliknya, parti-parti memilih strategi "kempen senyap" dengan pendekatan mikro yang lebih tertumpu secara langsung kepada pengundi. Pendekatan "man-to-man marking" menjadi pilihan di mana calon-calon dan jentera parti lebih agresif merayu undi secara peribadi.
Pada masa yang sama, media sosial kini muncul sebagai platform baharu kempen politik utama. Setiap malam calon-calon memperuntukkan masa khas untuk sesi langsung di media sosial masing-masing, memanfaatkan ruang digital yang lebih dekat dengan pengundi terutama golongan muda dan warga bandar.
Dalam medan digital ini, Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan gaya yang sangat agresif dan proaktif, manakala Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) lebih kepada mengambil posisi bertahan dari menyerang. Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula konsisten dengan pendekatan tersendiri, menggunakan platform digital untuk mengetengahkan isu-isu pekerja dan kebajikan sosial.
BN dalam pada itu menggunakan pendekatan yang pernah berjaya di Nenggiri dan Mahkota dengan mengepung ahli tegar parti, memujuk kembali pengundi yang sebelum ini memilih protes dalam pilihan raya lalu. Dalam kalangan parti komponen PN pula, hanya PAS dilihat benar-benar bekerja keras di lapangan manakala Bersatu tidak begitu menyerlah. Bagi PH pula, AMANAH dan DAP bekerja secara aktif namun jentera PKR dilihat kurang berfungsi berikutan kesibukan pemilihan dalaman parti mereka.
Kelesuan Politik Anak Muda dan Sukarnya Membaca Majoriti Senyap
Salah satu cabaran besar dalam PRK ini ialah sikap pengundi muda yang tidak lagi teruja atau aktif menyertai kempen secara fizikal. Berdasarkan temubual oleh ILHAM Centre, pengundi muda khususnya mereka yang berada di luar kawasan seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Teluk Intan secara jelas menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk pulang mengundi.
Dalam konteks ini, anak muda Melayu kekal sebagai kumpulan pengundi yang kritikal terhadap BN, meneruskan sentimen negatif yang telah memberi lonjakan besar kepada PN semasa PRU-15 lalu. Ketiadaan minat generasi muda ini merupakan cabaran utama jentera Pemuda UMNO yang dilihat terkial-kial dalam usaha untuk meraih semula kepercayaan kelompok ini sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Fenomena ini menyebabkan pola pengundian majoriti senyap semakin sukar dibaca, menambah ketidakpastian terhadap keputusan akhir PRK ini.
Kombinasi Isu Tempatan dan Nasional Menjadi Naratif Kempen
Berbeza daripada PRK terdahulu, PRK Ayer Kuning jelas didominasi oleh isu-isu tempatan yang lebih dekat dengan hati pengundi. Antara isu yang dimainkan termasuklah PH yang awal-awal lagi mempertikaikan kredibiliti calon PN, Ustaz Muhaimin, berhubung status tauliah mengajar agama beliau.
Dalam pada itu, PN pula menggunakan isu tempatan seperti pencemaran najis babi tetapi diubahsuai menjadi isu berbaur perkauman yang bertujuan meraih simpati pengundi Melayu. Naratif ini, walaupun berisiko tinggi, kelihatan masih berkesan dalam konteks demografi tempatan.
Momokan mengenai hubungan UMNO-DAP (UMDAP) masih terus menjadi isu sensitif dalam kalangan pengundi Melayu. Cubaan pemimpin DAP, Nga Kor Ming, untuk menormalisasi istilah UMDAP dengan laungan “UMDAP Mantap” ternyata memberi lebih banyak kesan negatif berbanding positif, dan dilihat lebih strategik sekiranya ia ditangani sepenuhnya oleh jentera BN.
Menariknya, BN sendiri mengambil langkah luar biasa dengan tidak membuat sebarang kenyataan balas dalam sidang media seperti kebiasaan sebelum ini. AMANAH pula menjadi wakil Kerajaan Perpaduan yang dipertanggungjawabkan untuk menjawab serangan-serangan yang dilancarkan oleh PN.
Calon PSM, Bawani KS, secara konsisten mengangkat isu realiti rakyat tempatan seperti peluang pekerjaan dan kebajikan pekerja ladang, dengan tumpuan khusus kepada masyarakat India yang dilihat sebagai potensi besar untuk mencuri undi dari segmen ini.
Selain isu tempatan, isu-isu nasional turut dibawa sebagai naratif kempen khususnya oleh PN. Antara yang hangat diutarakan adalah persepsi Kerajaan MADANI yang didakwa lemah dalam pelbagai aspek, serta keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan PH dalam kerajaan Kerajaan Perpaduan. PN membawa naratif supaya pengundi jadikan PRK Ayer Kuning sebagai referendum terhadap Kerajaan Persekutuan, serta referendum untuk menyedarkan UMNO bahawa keputusan mereka berkolisi dengan PH adalah tidak tepat.
Perpindahan Undi PH sebagai Faktor Penentu Keputusan
Dinamik perpindahan undi khususnya daripada pengundi PH menjadi antara faktor paling penting dalam menentukan kemenangan PRK ini. Hasil kajian ILHAM Centre mendapati pengundi Cina masih skeptikal terhadap BN, menyebabkan DAP dan MCA terpaksa bergerak secara berasingan dalam usaha memujuk segmen ini untuk menyokong calon BN.
Walau bagaimanapun, secara amnya pengundi yang dahulunya menyokong PH tidak berdepan masalah besar untuk memindahkan undi mereka kepada calon BN kerana persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan. Manakala komuniti Orang Asal pula dilihat secara jelas kekal dengan BN, menyifatkan parti itu masih relevan dengan sentuhan khidmat terhadap keperluan komuniti mereka.
Dalam konteks ini, PN dilihat hanya memfokuskan perhatian mereka terhadap undi Melayu dan hampir tidak memberikan perhatian sewajarnya kepada pengundi bukan Melayu, suatu pendekatan yang mungkin akan mengehadkan peluang mereka untuk meraih kemenangan dalam kawasan bercampur seperti di Ayer Kuning.
Pertembungan Seimbang antara Calon-Calon
Pertandingan dalam PRK kali ini amat menarik kerana tiada calon yang dominan secara mutlak. Calon BN, Dr Yusri Bakir mempunyai kelebihan besar melalui latar belakang beliau sebagai bekas guru tempatan yang dikenali ramai, menggunakan sentimen nostalgia bekas pelajar serta keluarga mereka. Kempen calon BN juga dilaksanakan secara tersusun melalui kaedah ziarah rumah ke rumah yang diterima baik pengundi.
Calon PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek pula, walaupun sederhana dalam pendekatannya, mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai guru agama yang aktif mengajar di masjid dan surau setempat. Strategi kempen PN lebih kepada ceramah kelompok kecil dan merayu undi secara langsung, mencipta impak berkesan dalam mencabar dominasi BN.
Bawani KS dari PSM, pula tampil dengan matang dan jelas membawa isu kebajikan pekerja estet dan peluang pekerjaan, menjadikan beliau calon yang berpotensi meraih undi komuniti India tempatan berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai bekas calon. Selain itu, faktor pengaruh pemimpin MIC, Datuk Seri M. Saravanan, turut menjadi perhatian khusus dalam PRK ini. Pengaruh beliau dalam kalangan masyarakat India akan diuji secara langsung melalui kempen Bawani KS, yang dilihat secara aktif menggerakkan isu-isu setempat terutama berkaitan kebajikan pekerja ladang dan peluang pekerjaan. Bawani KS berpotensi mencipta impak penting dengan menarik undi daripada komuniti India, sekali gus memberi implikasi terhadap jumlah majoriti yang mampu diperoleh BN pada PRK ini.
Rumusan
Berdasarkan pemerhatian selama dua minggu kempen, ILHAM Centre mendapati BN secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi DUN ini. Persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama PH dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi (18 ribu undi) yang diumumkan Menteri Besar Perak. Sasaran ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai.
Di pihak PN, fokus utama adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15 lalu. Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar. PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO. Justeru, PRK kali ini menjadi medan penting menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN.
Kesimpulannya, PRK N.48 Ayer Kuning merupakan penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pengaruh sebenar PN dalam kalangan pengundi muda Melayu, serta sejauh mana faktor peribadi calon mempengaruhi keputusan pengundian dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.
Jumaat, 25 April 2025
Laporan disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik) dan Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik).
Nota Kajian:
Laporan ini merupakan ekstrak dan rumusan dapatan kajian secara kualitatif melibatkan informan yang mewakili setiap segmen pengundi dalam populasi kajian di lapangan. Semua informan ditemubual secara mendalam dari 18 hingga 24 April 2025. Analisis disusun secara tematik bagi menyerlahkan intipati utama kajian. Laporan khas ini disediakan oleh ILHAM Centre sebagai rujukan profesional kepada pihak media dan pemegang taruh untuk memahami dinamika politik PRK N.48 Ayer Kuning dengan lebih jelas.
1 Ulasan
PAS pasti menang. Takbir!
BalasPadam