Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kelmarin sekali lagi mengukuhkan keyakinan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan serta kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Kempen PRK DUN Ayer Kuning DAP, Howard Lee berkata, gabungan itu terbukti sebagai satu kekuatan yang mantap, yang seiring dengan aspirasi rakyat Malaysia yang majmuk dan harmoni.
Menurut Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu, pilihan yang dibuat oleh pengundi jelas membuktikan kepercayaan mereka terhadap visi Malaysia Madani yang dipelopori oleh Kerajaan Perpaduan.
"Ia mencerminkan sokongan kolektif terhadap model pemerintahan yang mementingkan keterangkuman, kemajuan, serta saling menghormati antara semua komuniti.
"Ia juga merupakan satu penolakan yang tegas oleh rakyat terhadap politik ekstrem etno-agama yang dimainkan oleh PAS dan PN, yang bertujuan menabur ketakutan dan perpecahan," katanya dalam kenyataan media semalam.
Bendahari DAP Perak itu menambah, perlu ditegaskan bahawa kemenangan di Ayer Kuning bukan kes terpencil.
Beliau memberitahu, ia adalah kesinambungan daripada siri kejayaan dalam beberapa pilihan raya kecil yang terdahulu hasil formula perpaduan yang sama.
"Kemenangan di Mahkota, Pelangai, Nenggiri dan Kuala Kubu Bharu membuktikan bahawa apabila perpaduan dipertahankan, rakyat membalas dengan keyakinan dan sokongan," jelasnya.
Howard turut merakamkan penghargaan terhadap dedikasi tidak berbelah bahagi seluruh jentera DAP.
"Daripada wakil rakyat, anggota eksekutif negeri dan persekutuan, ahli majlis tempatan sehinggalah ke ahli akar umbi, setiap sumbangan adalah faktor penentu kejayaan kempen ini.
"Komitmen mereka menjadi lambang semangat perpaduan dan tekad bersama yang mendasari perjuangan kita," jelasnya.
Melangkah ke hadapan, kata beliau, DAP Perak akan terus komited untuk berkhidmat kepada rakyat, mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi, dan membina Malaysia yang lebih bersatu dan terus maju dan majmuk.
0 Ulasan