SKMM siasat pempengaruh isu 3R, cubaan dedah maklumat peribadi

 


Rakaman percakapan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya, hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan bahawa siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial telah dijalankan susulan aduan yang diterima daripada orang awam mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Katanya, bertindak atas aduan rasmi yang diterima, dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya, pada 25 April lalu dan hari ini.

Menurut SKMM, siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan institusi diraja dengan dakwaan tidak berasas, selain cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakiti hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana individu.

"Tindakan ini berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, serta mengundang ancaman terhadap keselamatan individu dan melanggar undang-undang komunikasi serta perlindungan data peribadi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SKMM menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berdasarkan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu yang terlibat. 

Tegasnya, setiap siasatan dilaksanakan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil dan mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998, sebagai langkah awal mengumpul maklumat berkaitan.

"SKMM turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan