Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh 'membalun' Setiausaha DAP Melaka, Kerk Chee Yee yang mencabarnya supaya melangkaui politik perkauman serta agama, dan tampil sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia.
Exco Kerajaan Negeri Melaka itu berkata, beliau tidak ada masalah dengan kaum Cina, India dan kaum-kaum lain.
"Tetapi saya ada masalah dengan pemimpin seperti kamu yang pemikirannya sempit dan tidak habis-habis cuba mengganggu gugat ketenteraman yang ada.
"Bacullah saya jika ada orang ganggu agama, bangsa saya dan saya hanya diam membisu!!!
"Sebelum nak cabar saya,cuba cermin diri sendiri dahulu!" katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, Chee Yee yang juga ADUN Ayer Keroh berkata, tidak ada mana-mana parti politik hari ini yang harus berpuas hati menjadi suara fraksi sempit yang hanya akan membawa parti itu kepada situasi terumbang-ambing dalam landskap politik Malaysia moden.
Tambah beliau, adalah mengecewakan apabila Dr. Akmal kelihatan lebih cenderung memainkan sentimen agama berbanding menawarkan visi kepimpinan yang inklusif.

0 Ulasan