Anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan beliau akan mencabar penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu kali ini.
Beliau menjelaskan keputusan untuk menawarkan diri bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya datang daripada semangat dan rasa tanggungjawab terhadap perjuangan Reformasi yang didukung sejak 1998.
Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan yang perlu diambil bukanlah yang paling mudah atau paling selesa, tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab.
“Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR 2025–2028.
“Saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, perjuangan dalam PKR bukan milik individu tetapi milik semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi.
Mengulas persepsi “Parti Anak Beranak” yang sering dikaitkan dengan keluarganya, Nurul Izzah berkata label itu bukanlah perkara baharu.
“Sebenarnya, label ini bukanlah serangan baharu. Malah, sejak 1998, ketika saya bersama pengasas dan pejuang Reformasi menubuhkan PKR, label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan kita.
“Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan,” ujarnya.
Tambah beliau, pada tahun 2022 beliau tidak bertanding kerana memberi tumpuan kepada gerakan Ayuh Malaysia dan memperjuangkan dasar seperti TVET serta perubahan iklim.
Beliau turut menegaskan bahawa jika beliau kekal bertanding Naib Presiden sekalipun, label yang sama tetap akan dilemparkan.
“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah, kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme,” katanya.
Sebaliknya, katanya, demokrasi dalaman parti perlu dipertahankan.
Nurul Izzah turut menjelaskan bahawa beliau pernah menolak jawatan Kabinet pada 2018 walaupun ditawarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana tidak mahu bertugas dalam pentadbiran yang turut dianggotai ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.
“Malahan, sekiranya saya menang jawatan Timbalan Presiden sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan kabinet,” tegasnya.
Mengulas soal hala tuju parti, beliau menekankan kepentingan memperkasa cabang, akar umbi dan jentera parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di cabang-cabang, khususnya di 50 kerusi marginal.
“Kerana PRU-16 bukan boleh dimenangi menerusi usaha mana-mana individu. Kita tidak mampu bergerak berseorangan,” katanya.
Menurut beliau, kemenangan hanya mampu dicapai menerusi penggabungan kekuatan jentera akar umbi dan kehadiran menyantuni rakyat secara berkesan.
“Inilah saatnya untuk kita mengembalikan ideologi asal parti kita, demi menyatukan semula kekuatan PKR dengan roh perjuangan asal, membawa PKR kepada semua, mengambil kira keperluan sosioekonomi dan peluang yang terbaik tidak mengira bangsa, latar belakang mahupun kepercayaan," jelasnya.
Beliau turut menyeru supaya semua anggota parti tidak menyerang secara peribadi antara satu sama lain sepanjang tempoh pemilihan.
“Dalam tempoh dua hari ini, saya lihat ada beberapa penyokong PKR yang mengeluarkan kata nista menyerang peribadi, malahan dipanggil dengan pelbagai gelaran dan status perkahwinan saya juga dijadikan ejekan kempen.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan yang lain dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa parti ini dibina atas dasar semangat setiakawan dan perlu dihormati oleh semua pihak.

0 Ulasan