Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka tidak berpuas hati apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh membantah usul 14 kerusi Barisan Nasional (BN) dan 14 kerusi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ketuanya, Cassel Krishnan berkata, ketetapan yang diusulkan oleh sembilan cawangan di Melaka pada 6 Mei lepas adalah mewakili suara akar umbi DAP.
Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang amalkan proses demokrasi, DAP mesti menerima dan menghormati pandangan ahli-ahlinya.
"Sama ada PH bertanding di 14, 21, atau 28 kerusi adalah tertakluk kepada perundingan Majlis Presiden PH dan juga pakatan politik yang akan dibentuk pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan media semalam.
Cassel turut mengungkit, pada PRN Selangor 2023, DAP Selangor 'menghadiahkan' satu kerusi penyandang iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua kepada UMNO untuk bertanding, walaupun kerusi itu memang mudah ditawan semula oleh DAP.
Beliau menambah, itu sudah cukup membuktikan komitmen DAP kepada formula Perpaduan.
"Tambah menariknya, ia merupakan salah satu daripada dua kerusi yang UMNO menang di Selangor," jelasnya.
Cassel berkata, Dr. Akmal harus muhasabah atas pencapaian sepanjang menjadi Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Selepas tempoh setahun menjadi ADUN Merlimau, BN hilang kerusi Parlimen Jasin. Portfolio EXCO Pertanian tiada apa boleh dibanggakan luar biasa sehingga ke hari ni," katanya.
Beliau meminta Dr. Akmal agar jangan terlalu terburu-buru membuat keputusan mewakili BN.
"Fokus dulu atas kerja demi rakyat. Seorang EXCO yang sibuk komen isu-isu nasional berpotensi mendatangkan kegusaran awam sehingga menggugat perpaduan rakyat pelbagai kaum.
"Sebagai Exco Kemajuan Desa, YB bertanggungjawab menjaga seluruh negeri, bukan DUN Merlimau sahaja. Saya harap rakyat akan dapatkan seorang EXCO yang sibuk bekerja isu-isu rakyat jelata, dan bukan sibuk hentam rakan-rakan perpaduan.
"Lebih baik, kurangkan lawatan ke luar negara dengan "posse", rakyat bayar gaji YB untuk nampak perubahan, bukan politik murahan," katanya.

0 Ulasan