Harga LPG komersial mahal, membebankan usahawan kecil dan sederhana

 


Berikut adalah kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low hari ini:

Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA menerima banyak aduan daripada persatuan dan pengusaha perniagaan sejak kebelakangan ini berhubung Ops Gasak yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 1 Mei 2025.

Kebanyakan mereka mengadu terkesan dengan langkah baharu kerajaan mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi atau lebih dikenali sebagai tong gas ungu kepada perniagaan mereka khususnya peniaga minuman dan makanan, dobi serta perniagaan yang menggunakan LPG.

Peralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14kg, berbanding RM26.60 hingga RM30 untuk gas subsidi, iaitu kenaikan harga sehingga 2.5 kali ganda telah menyebabkan peningkatan kos operasi mereka sekaligus mencetuskan tindak balas berantai yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna. Ini turut diakui oleh Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula), Zarina Ismail.

Justeru, kerajaan menerusi KPDN harus mempertimbangkan dan menilai semula langkah ini dari pelbagai sudut, lebih-lebih lagi banyak perniagaan yang terjejas seperti peniaga kecil dan kedai kopi yang dikendalikan oleh individu daripada kumpulan pendapatan B40 serta M40, bukannya restoran mewah.

MCA bersetuju sekiranya pengusaha perniagaan ini tidak dibenarkan daripada menggunakan LPG bersubsidi yang berharga RM26.60, namun dalam masa sama, MCA juga menyifatkan LPG komersial yang diwajibkan kepada mereka dengan harga RM70 setong juga adalah tidak munasabah. 

Oleh itu, MCA mencadangkan agar harga yang lebih sesuai diperkenalkan agar ianya tidak memberi kesan drastik terhadap pengusaha perniagaan dan pengguna atau pelanggan mereka terutama dikalangan B40 dan M40.

Dalam masa terdekat, Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA akan mengadakan pertemuan dengan Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors' General Association berhubung perkara ini. Kami juga akan memanjangkan hasil pertemuan tersebut kepada kerajaan seterusnya berharap penyelesaian menang-menang dapat dicapai. 

Apa yang penting bagi MCA, rakyat selaku pengguna seharusnya tidak lagi dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup yang kini sudah pun semakin membebankan.

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan