Berikut adalah kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya semalam:
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) amat kesal dengan insiden penangkapan Ustaz Mat Esa Deraman, atau lebih dikenali sebagai Tokku Pasir Gudang, yang tular dalam satu video baru-baru ini.
Tindakan tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah mencerminkan kecenderungan yang membimbangkan dalam cara pihak berkuasa menangani suara dakwah di negara ini.
DUPP ingin menegaskan bahawa para asatizah yang ikhlas menyampaikan ilmu dan seruan agama tidak sepatutnya dilayan seolah-olah mereka penjenayah berbahaya.
Lebih menyedihkan, dalam banyak kes berprofil tinggi yang melibatkan kerosakan lebih besar kepada rakyat dan negara – seperti kes pencerobohan tanah secara haram di Raub, Pahang; kes letupan paip utama di Selangor; serta pelbagai kes rasuah berbilion ringgit – tiada tangkapan drastik yang dilakukan dengan segera atau penuh publisiti seperti ini.
Apakah ini gambaran sebenar keadilan dalam era Madani? Mengapa asatizah yang membawa mesej kebaikan disiasat dengan keras, sedangkan pesalah sebenar masih bebas tanpa tindakan tegas?
Adakah pihak berkuasa kini lebih rela menjadi ‘mata lalat’, mencari kelemahan para pendakwah, tetapi menutup sebelah mata terhadap kemungkaran yang lebih nyata – termasuk premis perjudian, aktiviti maksiat terbuka, dan penghinaan terhadap Islam?
Kami tidak menolak prinsip undang-undang, tetapi mendesak agar ia dilaksana secara adil, tanpa pilih kasih.
Janganlah menjadikan ulama’ mangsa keadaan dalam usaha mengekang kebangkitan suara agama di tengah masyarakat yang makin celaru.
Tepuk dada, tanya iman. Siapa sebenarnya penjenayah di mata undang-undang?

0 Ulasan