Pemuda UMNO menafikan penyokong Datuk Seri Najib Razak obses terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, mereka cuma mempertahankan hak Najib yang telah dikurniakan perintah tahanan rumah Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Kami tidak turun berdemo mempertikaikan keputusan mahkamah seperti yang pernah dilakukan oleh penyokong Datuk Seri satu masa dahulu, kami hanya mahu hak Datuk Seri Najib diberikan sahaja.
"Mahkamah dah berikan keputusan ke atas kes beliau maka kami akur, tetapi apabila Datuk Seri Najib diberikan hak tahanan rumah oleh Tuanku Agong, maka harus kita semua akur.
"Sama juga seperti penyokong Datuk Seri dahulu, yang merasakan Datuk Seri perlu diberikan hak pengadilan yang adil begitu juga kami pada Datuk Seri Najib.
"Tiada helah yang lain, selain dari hak Datuk Seri Najib perlu diberikan.
"Bagaimana Datuk Seri mempunyai jasa pada negara, begitu juga dengan Datuk Seri Najib Razak yang tidak boleh dinafikan jasa beliau.
"Maka jangan takut, jangan bimbang ya PMX," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dr. Akmal mengulas laporan Malaysiakini berdasarkan wawancara eksklusif Anwar dengan 101 East Al-Jazeera.
Anwar mempersoalkan "obsesi" terhadap skandal 1MDB dan Najib, yang kini berada di penjara, sementara masih terdapat banyak lagi kes berkaitan rasuah yang melibatkan berbilion-bilion kerugian.
"Saya fikir ia adalah helah terang-terangan dan jahat oleh beberapa penyangak yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan," katanya.

0 Ulasan