Berikut adalah kenyataan Ketua Pemuda MCA, Wong Siew Mun pada 8 Mei lalu:
Pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menerusi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) bakal menjana 3,200 pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang 2027 amat dialu-alukan, khususnya pada masa ketidaktentuan ekonomi ini.
Namun, di sebalik berita baik ini, ada juga rasa kecewa kerana jumlah ini kurang daripada angka 3,600 dari tahun 2017 hingga 2022 yang diumumkan sebelum ini oleh man Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak pada tahun 2017.
Ditekankan, PLKI ECRL ini merupakan ilham Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu untuk meningkatkan kemahiran pekerja Malaysia agar dapat memacu pembangunan industri pengangkutan rel negara, secara langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Malah, mengikut perancangan awal oleh BN, secara keseluruhannya projek ECRL ini akan menjana sebanyak 80,000 peluang pekerjaan di mana 70 peratus daripadanya adalah dari kalangan rakyat tempatan, di samping meningkatkan KDNK negeri-negeri berkenaan sebanyak 1.5 peratus daripada limpahan ekonomi sepanjang jajarannya.
𝐅𝐢𝐭𝐧𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐨𝐡𝐦𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐫𝐮𝐠𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭
Malangnya, projek ini dipolitikkan pembangkang pada masa itu kononnya kerajaan BN “menjual” negara kepada China hanya kerana syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan rakan kongsi dalam projek ini.
Masih ingat lagi laungan pemimpin-pemimpin pembangkang bahawa “hutang negara kepada China bersamaan 30 KLCC”. Ada juga dakwaan bahawa “kos ECRL akan dinaikkan dua kali ganda untuk membayar hutang skandal 1MDB”.
Akan tetapi, hari ini ECRL masih diteruskan, malah diuar-uarkan Menteri Pengangkutan sebagai komitmen negara Malaysia untuk memajukan jaringan rel negara dan membina masa depan negara.
Tidak dinafikan, ada juga rasa bangga melihat projek mega kerajaan BN terdahulu masih mampu menyumbang kepada kebaikan rakyat dan negara walaupun dipergunakan dan dipolitikkan dengan fitnah bertalu-talu sehingga membawa kepada pertukaran kerajaan dalam PRU 2018.
Kejayaan ECRL hari ini juga menyerlahkan kewibawaan Najib Razak dan kerajaan BN dalam merancang projek pengangkutan awam mega berteraskan rakyat. Malah, projek-projek pengangkutan awam lain oleh BN seperti MRT3, LRT3, dan RTS Johor Bahru-Singapura yang turut menjadi mangsa fitnah sebelum ini hari ini diteruskan demi manfaat rakyat. Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura juga bakal diteruskan sekiranya mendapat penyertaan sepenuhnya dari sektor swasta menurut Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
𝐀𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐢𝐤𝐭𝐢𝐛𝐚𝐫, 𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐞𝐧𝐭𝐢𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭
Alangkah baiknya jikalau projek-projek mega di bawah BN tidak dipolitikkan atau menjadi mangsa tohmahan pihak pembangkang? Bayangkan manfaat yang dapat dinikmati rakyat Malaysia hari ini dan limpahan ekonomi yang dapat dirasai semua sekiranya projek-projek ini tidak ditangguh kerana amalan “politik dendam”.
Maka, diharapkan bahawa ahli-ahli politik hari ini akan lebih bertanggungjawab semasa berpolitik dan tidak lagi melempar fitnah atau tuduhan tidak berasas semata-mata untuk meraih sokongan politik dengan menghasut kebencian dan kemarahan rakyat.
Mesti masih ramai yang mengingati apabila ECRL digunakan sebagai kempen PRK DUN Rantau pada 2019 di mana kerajaan mengumum akan tukar jajaran ECRL ke Seremban, dan tidak akan melalui Gombak. Langkah ini tidak masuk akal kerana melanggar niat asal untuk menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang.
Inilah contoh bagaimana sebuah projek boleh dipolitikkan demi meraih manfaat politik peribadi tanpa mengambil kira gambaran lebih besar, dan akhirnya akan merugikan rakyat dan negara dari segi kos pembinaan tambahan dan membazirkan masa.
Projek-projek yang berpaksikan rakyat tidak wajar dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab. Sekiranya ada yang tidak jelas atau tidak puas hati, maka berbahaslah secara matang dengan berdasarkan fakta dan bukannya dengan emosi atau tohmahan tidak berasas.
Jangan biarkan rakyat dan negara rugi kerana menjadi mangsa ketamakan kuasa politik peribadi segelintir pihak.

0 Ulasan