Nepotisme: Anwar ingatkan PKR tak boleh terperangkap dalam naratif musuh

 


Berikut adalah hantaran Facebook Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini:

Saya menyeru dengan penuh keinsafan dan harapan agar pimpinan dan anggota parti terus mengangkat tinggi prinsip keadilan, memperkukuh integriti, dan dengan tegas menolak politik sempit berasaskan perkauman serta fitnah yang menjadi mainan pihak pembangkang.

KEADILAN bukan sekadar sebuah parti politik ia adalah sebuah wadah perjuangan yang dibina atas keringat, air mata, dan keyakinan rakyat bahawa negara ini mampu diurus dengan lebih adil, saksama, dan berprinsip. 

Justeru, kesetiaan kita tidak harus berpaksi kepada individu, sebaliknya kepada idealisme perjuangan ini. Ayuh kita bangkit bersama, bergerak sederap, dan mengukuh kembali saf perjuangan agar kita lebih bersedia menghadapi medan pilihan raya yang penuh cabaran.

Menjawab dakwaan nepotisme yang dimainkan sesetengah pihak, saya menghimbau kembali saat Azizah tampil menakhodai parti ini di waktu paling getir, tatkala seluruh instrumen kekuasaan ketika itu digunakan untuk memadam obor perjuangan KEADILAN. Ketika itu, tidak kedengaran sebarang suara melontarkan tuduhan nepotisme.

Namun apabila Izzah mara menerusi proses demokratik dan meraih sokongan anggota parti secara terbuka, tuduhan ini tiba-tiba dimainkan. KEADILAN tidak boleh terperangkap dalam naratif musuh. Kewibawaan Izzah, seperti mana pimpinan lain, wajar dinilai dengan adil berasaskan kekuatan dan sumbangannya pada perjuangan kita.

Kita mesti tegas melawan naratif yang cuba memutarbelit perjuangan kita. Kita tidak takut diuji, kerana KEADILAN lahir daripada ujian. Kita tidak gentar dikecam, kerana KEADILAN diasaskan atas keberanian untuk melawan kezaliman dan ketidakadilan.

KEADILAN akan terus menjadi suara rakyat dengan mengangkat agenda ekonomi yang membela golongan rentan, meroboh tembok penindasan dan tekal memacu reformasi serta tadbir urus yang lebih telus, bersih dan berwibawa. Perjuangan ini belum berakhir.

Reformasi!

Kita KEADILAN!

#MalaysiaMADANI

#MADANIbekerja

#KEADILAN

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan