Akmal cabar Syahredzan buat usul keluarkan BN dari Kerajaan Perpaduan

 


Ketua  Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mencabar Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membuat usul mengeluarkan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan.

Beliau melontarkan cabaran itu setelah Syahredzan mencadangkan agar MCA 'nyah' daripada Kerajaan Perpaduan kerana selalu mengkritik.

Dr. Akmal mengingatkan Naib Pengerusi DAP itu bahawa BN datang dalam satu pasukan.

"Bila kena tegur, meroyan tuduh orang sana sini. Jawab pun dengan angkuh.

"Saya tunggu YB Bangi berani atau tidak sahut cabaran saya tu," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Syahredzan dalam hantaran Facebook semalam berkata, cadangannya itu adalah ekoran tindak-tanduk pemimpin MCA khususnya Presiden, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang berterusan menyerang Kerajaan Perpaduan dengan fakta yang salah dan separuh masak.

Terbaharu, ujarnya, berkenaan pertikaian peraturan pemansuhan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang mana dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang mana Ka Siong merupakan salah seorang menteri dalam Kabinet itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, ketika fakta itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, Ka Siong sebaliknya mempertahankan diri bahawa ia bukan soal peraturan, tetapi berkenaan pelaksanaan.





Catat Ulasan

0 Ulasan