DAP umpama musang berbulu ayam


Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong hari ini:

Hanya kerana tak tahan dengan MCA yang mengangkat suara rakyat, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan dengan angkuh suruh MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Pertama sekali saya dan barisan kepimpinan Pemuda MCA ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang terawal membidas Syahredzan dengan mengatakan;

“Kami datang dalam sebuah pasukan Barisan Nasional (BN). Maka jika mahu ‘nyah’ (usir) seorang dari keluarga kami, maka saya cabar YB Bangi untuk buat usul kepada Kerajaan Perpaduan untuk keluarkan BN semua sekali dari kerajaan ini!”

Kedua, terima kasih DAP si ‘musang berbulu ayam’ kerana telah membuka topeng dan menunjukkan wajah sebenar mereka sebagai penghasut serta pemecah-belah, semata-mata mahu menguatkan diri sendiri. Mereka semakin rakus setelah berkuasa dan pentingkan diri sendiri.

Tepat sekali apa yang pernah diperkatakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian beberapa hari lepas, bahawa kestabilan politik berpanjangan di Sarawak disebabkan DAP tidak pernah menjadi sebahagian kerajaan negeri dan parti itu (DAP) memecah-belahkan.

Ketiga, kenapa DAP 'triggered' atau terkesan sangat emosinya apabila MCA mengangkat suara rakyat, memperjuangkan isu negara dan menyatakan kebenaran?

Contohnya isu penjualan saham MAHB oleh KWSP. Terbukti benar KWSP rugi RM500 juta - RM700 juta. Jual saham dengan harga RM6, kemudian beli balik dengan harga RM11 sesaham.

Begitu juga dengan isu MyKiosk berharga RM25 ribu seunit, sedangkan di pasaran hanya dijual serendah RM12,500 - RM16,000. Masih banyak kiosk kosong dan terbiar itu juga benar.

Terbaharu isu tong gas LPG. Sebelum ini peniaga boleh pakai gas RM26.60, sekarang kena pakai RM70. Ini menyebabkan peniaga tiada pilihan menaikkan harga jualan kerana kos operasi mereka meningkat. Kesannya sudah tentulah rakyat selaku pengguna. Ini juga satu realiti dan kebenaran.

Salahkah MCA membela nasib rakyat? Kalau DAP tak mampu nak membantu rakyat, selesaikan masalah, maka pergilah balik rumah goyang kaki dan tidur. Rakyat ada MCA dan BN. Kami sentiasa mendahulukan rakyat.








Catat Ulasan

0 Ulasan