PM tidak kebal undang-undang - Takiyuddin

 


Berikut adalah kenyataan media Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini:

Perikatan Nasional (PN) merujuk kepada kenyataan media oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri (Setpol Kanan PM), Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin, berkenaan permohonan Perdana Menteri untuk mendapatkan kekebalan bersyarat daripada

Mahkamah Persekutuan berkaitan saman sivil yang difailkan terhadapnya oleh Muhammed Yusoff Rawther.

PN melihat kenyataan tersebut agak mengelirukan dan menyimpang kerana ternyata salah satu isu utama dalam permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut adalah mengenai kekebalan, iaitu:

‘sama ada, di bawah perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan sivil berhubung dakwaan perlakuan’ peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya, sekiranya penerusan litigasi sedemikian akan menjejaskan keupayaan beliau untuk melaksanakan fungsi Eksekutif dengan berkesan dan menggugat doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.”

PN melihat permohonan Perdana Menteri dalam isu kekebalan ini mengundang perbandingan langsung dengan kes mahkamah pada tahun 2017 hingga 2019 melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, yang menghadapi saman sivil yang difailkan oleh seorang Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, berhubung dakwaan salah guna kuasa berkaitan kes 1MDB.

Mahkamah Persekutuan pada 19 November 2019 memutuskan bahawa Perdana Menteri adalah ‘pegawai awam’ dan boleh disaman atas tindakan salah guna kuasa. Kes ini turut menetapkan suatu duluan (precedent) penting bahawa seorang Perdana Menteri tidak kebal daripada sesuatu tindakan sivil atau tort jika berkaitan penyalahgunaan kuasa awam, apatah lagi tindakan yang bersifat peribadi.

Dengan kata lain, tiada seorang pun warganegara, termasuk Perdana Menteri, harus berada di atas undang-undang dan tiada sebarang kedudukan boleh digunakan sebagai perisai undang-undang untuk tindakan peribadi.

PN yakin Mahkamah akan bertindak secara bebas dalam menjalankan peranannya tanpa menghiraukan campur tangan politik, kekebalan istimewa mahupun cubaan menggunakan kedudukan awam sebagai perlindungan daripada proses undang-undang.

Justeru itu PN sebagai juru bicara rakyat akan terus memantau perkembangan kes ini khususnya dan akan terus menyuarakan kebimbangan rakyat agar prinsip keadilan tidak dikompromi demi kepentingan mana-mana tokoh politik, tidak kira dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan