PKR Cabang Hang Tuah Jaya percaya tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketuanya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin adalah lebih menjurus kepada serangan politik melampau yang bertujuan mencalar kredibiliti serta menggugat kepimpinan parti, khususnya dalam suasana politik yang semakin mencabar ketika ini.
Ketua Penerangannya, Yazid Borhan berkata, keyakinan mereka terhadap Shamsul Iskandar adalah berasaskan rekod khidmat, pengalaman serta keupayaan beliau dalam menyusun organisasi, memperkukuh jentera parti dan memastikan PKR terus relevan serta dekat dengan rakyat, khususnya di Hang Tuah Jaya dan Melaka secara keseluruhan.
Sehubungan itu, menurut beliau, PKR Cabang Hang Tuah Jaya akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi parti, memperkemas gerak kerja serta menyatukan saf kepimpinan, lebih-lebih lagi menjelang kongres parti dan Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang.
"Kami menyeru seluruh pimpinan dan anggota parti agar kekal muafakat, matang dan berdisiplin, serta tidak terperangkap dengan naratif songsang yang bertujuan melemahkan kepimpinan parti dan Presiden.
"PKR Cabang Hang Tuah Jaya kekal komited mempertahankan perpaduan parti dan meneruskan perjuangan reformasi demi rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada masa yang sama, Yazid berkata, PKR Cabang Hang Tuah Jaya menghormati sepenuhnya keputusan Biro Politik PKR yang dibuat selaras dengan perlembagaan serta tradisi parti demi memastikan kelangsungan dan kestabilan organisasi di peringkat negeri Melaka.
Pada masa yang sama, kata beliau, kepimpinan PKR Cabang Hang Tuah Jaya sebulat suara berdiri teguh dan kekal yakin dengan kepimpinan Shamsul Iskandar untuk terus memimpin cabang itu dengan berfokus, berprinsip dan berpaksikan perjuangan reformasi.
"Cabang ini juga berpegang teguh kepada prinsip keadilan sejagat, iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
"Setiap individu berhak diberikan keadilan, proses sewajarnya dan penilaian berasaskan fakta, bukannya persepsi atau tuduhan yang dibentuk melalui sentimen dan spekulasi politik," jelasnya.

0 Ulasan