Na'im ucap terima kasih PMX selepas digugur jawatan Menteri Agama

 

Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Kerajaan MADANI.

Menurut beliau, sepanjang tempoh menerajui portfolio Hal Ehwal Agama, Pelan Transformasi Al-Falah telah dilaksanakan sebagai kerangka utama pembaharuan institusi agama. Pelan ini telah memberi impak yang nyata melalui penambahbaikan tadbir urus institusi agama, penyelarasan dasar yang lebih bersepadu, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus. 

"Pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban turut memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd. Na'im digugurkan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Anwar semalam.

Dalam menerima setiap amanah dan perubahan, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa segala kekuasaan dan ketetapan adalah milik Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلْمُلْكِ تُؤْتِى ٱلْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ ۖ بِيَدِكَ ٱلْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah: Wahai Allah, Pemilik kekuasaan. Engkau berikan kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan-Mu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”

Mohd. Na'im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja agensi Hal Ehwal Agama terutamanya warga Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas komitmen, profesionalisme dan dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

"Segala pencapaian yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak," jelasnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Dr. Zulkifli Hasan atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

"Saya mendoakan agar beliau dapat meneruskan amanah ini dengan sebaiknya serta menyambung kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka demi kepentingan agama dan negara," katanya.

Sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI, Mohd. Na'im berjanji akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri serta agenda MADANI, dan akan terus berkhidmat kepada agama, rakyat dan negara dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan