Bakar karikatur PMX perbuatan bacul dan kurang cerdik - Akmal

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bacul dan kurang cerdik.

Menurut beliau, tindakan menghina pemimpin negara dengan membakar gambar bukan sahaja tidak beradab, malah mencerminkan kelemahan moral dan intelektual pelakunya.

“Bagaimana kita marah ketika gambar pemimpin negara kita dahulu diperlakukan begitu hina, begitulah juga kita harus marah ketika gambar pemimpin kita hari ini walaupun berlainan parti diperlakukan sebegitu,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Dr. Akmal turut menegaskan bahawa perjuangan menuntut perubahan perlu dilakukan dengan berani dan berprinsip, namun tidak menggadai nilai kesopanan.

“Kalau pejuang perlu berani, tetapi bukan kurang cerdik dan kurang ajar! Berani bukan bermakna kita harus hilangkan adab sebagai manusia,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menyindir tindakan mahasiswa berkenaan yang dianggapnya tidak menunjukkan keberanian sebenar.

“Kepada adik mahasiswa yang rasa berani kerana berjaya bakar gambar PMX, anda sebenarnya seorang yang bacul dan kurang cerdik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Akmal turut mencabar kumpulan mahasiswa terbabit untuk bersemuka dengannya secara terbuka.

“Jika tidak berpuas hati dengan kenyataan saya, boleh aturkan perjumpaan dengan saya, saya nak sangat jumpa adik-adik mahasiswa ini. 

"Tolong maklumkan saya tempat dan masa, insya-Allah abang akan sampai untuk jumpa adik-adik depan-depan,” katanya lagi.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan