Harap PMX beri Amanah peluang isi kekosongan menteri Kabinet


Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan penyertaan wakil parti itu dalam Kabinet, sekiranya berlaku rombakan susulan pengunduran dua menteri baru-baru ini.

Naib Pengerusinya, Dr Zuhan Zain berkata, walaupun dua kekosongan itu merupakan kuota milik PKR, perkembangan semasa menunjukkan ada parti lain yang mula mengemukakan calon masing-masing.

“Memang benar kekosongan dua kementerian itu merupakan kuota PKR, namun apabila UMNO mula mencadangkan pemimpin dari luar PKR maka ia membuka ruang kepada semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan calon masing-masing.

“Ini termasuk UMNO yang dilihat mengemukakan nama pemimpin yang telah dipecat keahlian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Amanah Johor berpendapat sudah tiba masanya Perdana Menteri memberi peluang kepada pemimpin parti itu, memandangkan prestasi yang konsisten dan baik ditunjukkan oleh wakil Amanah dalam pentadbiran negara.

“Kepimpinan Amanah sentiasa komited mempertahankan Kerajaan Perpaduan daripada serangan pihak lawan. Kami yakin dengan kemampuan pemimpin kami untuk terus memperkukuh pentadbiran negara,” katanya lagi.

Beliau turut menjadikan sumbangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam memacu gagasan Rahmah serta khidmat Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai bukti keupayaan sebenar Amanah dalam kerajaan.

Zuhan turut menyentuh rekod baik Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta barisan timbalan menteri seperti Adly Zahari dan Datuk Aiman Athirah Sabu yang menurutnya layak diberikan ruang lebih besar dalam Kabinet.

Baru-baru ini, dua menteri daripada PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan selepas gagal mempertahankan kedudukan dalam pemilihan parti bulan lalu.

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan