Universiti Malaysia Sabah (UMS) memandang serius tindakan peserta Perarakan Gempur Rasuah 2.0 yang telah membakar karikatur Perdana Menteri yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Selain bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman, UMS melihat tindakan tersebut sebagai tindakan tidak beradab, kurang matang, sekaligus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi.
UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam.
"Pihak UMS menegaskan bahawa UMS tidak terlibat sama ada secara langsung atau pun tidak langsung dengan insiden ini.
"Justeru, pihak pengurusan universiti akan membuat satu laporan polis berhubung insiden ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, UMS juga amat kesal dengan pernyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kerana pelantikan tersebut dibuat atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang seharusnya dihormati.

0 Ulasan