![]() |
Gambar hiasan: Frans van Heerden / Pexels |
Berikut adalah kenyataan media Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman kelmarin:
Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia mengecam tindakan individu yang didakwa mewakili seorang hakim kanan membuat laporan polis terhadap wartawan Malaysiakini, hanya kerana wartawan tersebut cuba mendapatkan ulasan daripada hakim berkenaan.
Laporan polis tersebut difahamkan dibuat pada 12 Jun lalu, selepas wartawan tersebut menghubungi hakim terbabit bagi mendapatkan reaksi berhubung dakwaan tertentu yang dilaporkan berlaku dalam sebuah mesyuarat tertutup.
Kami ingin menegaskan bahawa usaha wartawan untuk mendapatkan pengesahan atau komen daripada pihak yang terlibat adalah sejajar dengan prinsip kewartawanan beretika. Ini bukan sahaja merupakan amalan biasa dalam profesyen kewartawanan, bahkan satu tanggungjawab asas demi memastikan laporan yang disiarkan bersandarkan kepada fakta, sahih, dan adil kepada semua pihak.
Menghubungi sumber atau pihak berkepentingan sebelum menerbitkan sesuatu laporan adalah selaras dengan piawaian profesional serta kod etika kewartawanan yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sehubungan itu, kami berpandangan bahawa:
● Tindakan wartawan mengemukakan soalan tidak seharusnya dijadikan asas kepada laporan polis atau sebarang siasatan jenayah.
● Hak wartawan untuk bertanya soalan mesti dipertahankan dan dilindungi di bawah prinsip kebebasan media.
Kami memperjuangkan kebebasan, akauntabiliti, profesionalisme media dan menyeru semua pihak termasuk institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan agar memahami serta menghormati peranan media dalam sebuah sistem demokrasi yang matang.
Persatuan turut menyatakan solidariti penuh bersama Malaysiakini dan seluruh warga wartawan yang menjalankan tugas mereka dengan penuh etika, tanggungjawab dan keberanian.
0 Ulasan