YAB PMX, santan pun masuk dalam senarai SST

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa golongan berpendapatan rendah turut terkesan akibat pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa hanya barangan mewah seperti avokado akan dikenakan cukai, sedangkan senarai barangan bercukai turut merangkumi keperluan asas yang digunakan rakyat marhaen.

“Saya bersetuju jika nak cukaikan avokado sahaja. Tetapi mungkin PMX terlepas pandang bahawa dalam senarai yang akan dikenakan SST lima peratus nanti ada biskut dan juga santan dalam senarai tersebut.

“YAB PMX, biskut dan santan ni digunakan oleh orang yang susah juga,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dr. Akmal turut menekankan kesan berantai yang boleh berlaku akibat kenaikan harga barangan asas, sekali gus menjejaskan ekonomi isi rumah pelbagai lapisan rakyat.

“Dan mungkin YAB PMX terlepas pandang mengenai kesan domino ekonomi apabila satu barang naik, maka keseluruhan sistem juga akan naik. 

"Maka rakyat juga akan terkesan tidak kira apa status mereka, miskin atau kaya,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan untuk kembali menggunakan sistem percukaian lebih cekap seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diyakini mampu menambah hasil negara tanpa membebankan pengguna secara tidak langsung.

“Sebab itu satu sistem yang komprehensif dan cekap seperti GST perlu digunakan untuk mengawal aliran cukai dengan lebih efisien.

“Dan mungkin YAB PMX terlepas pandang bahawa GST tu bukan general services tax, tetapi ia adalah goods and services tax ya,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan