Berikut adalah kenyataan media Timbalan Pengerusi Amanah Melaka merangkap Ketua Amanah Tangga Batu, Husni Balis Ali hari ini:
1. Suatu usul tergempar telahpun dimasukkan oleh sayap Pemuda Amanah Tangga Batu pada Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Kawasan Tangga Batu pada 4.7.2025. Menyedari hakikat bahawa tempoh matang Dewan Undangan Negeri Melaka yang semakin hampir, suatu usaha untuk memuktamadkan strategi pengagihan kerusi DUN Melaka di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mestilah disegerakan. Usul ini telahpun diterima sebulat suara oleh seluruh perwakilan yang hadir.
2. Konsep kerajaan perpaduan dan perkongsian kuasa mestilah dilakukan secara setara dan bukannya hanya apabila menguntungkan pihak Barisan Nasional sahaja yang sebelum ini diberikan laluan di 3 kerusi menang Pakatan Harapan semasa PRN 6 Negeri. Formula 14 PH dan 14 BN adalah adil dan bersesuaian berdasarkan pola pengundian dan jumlah undi popular yang diterima oleh gabungan masing-masing pada PRU15 yang lalu.
3. AMANAH Tangga Batu juga percaya kenyataan daripada pelbagai bahagian UMNO Melaka yang mahu UMNO-BN bertanding secara solo pada PRN Melaka akan datang bukanlah suatu kebetulan tetapi adalah gambaran keangkuhan UMNO Melaka terhadap rakan politik. Barangkali UMNO Melaka terlupa bagaimana keangkuhan mereka pada PRN Melaka dibalas dengan kekalahan pada semua kerusi Parlimen Melaka sebelum ini?
4. Sekiranya formula pengagihan kerusi bertanding setara ini tidak dipertimbangkan oleh UMNO-BN, AMANAH Tangga Batu percaya adalah lebih baik untuk Pakatan Harapan Melaka mencorak kejayaan sendiri dan bertanding di semua kerusi DUN Melaka dan membawa kepada pertandingan 3 penjuru. Rekod baik Pakatan Harapan sebagai peneraju Kerajaan Persekutuan sudah tentu menjadi formula kukuh untuk menawan hati pengundi di negeri Melaka.
5. Demi memastikan Melaka tidak tewas kepada Perikatan Nasional, sebaik-baiknya dan sesegera mungkin, Pakatan Harapan Melaka dan Barisan Nasional Melaka mesti kembali ke meja perbincangan dan memuktamadkan perbincangan yang sulit ini. Tidak perlu menyembunyikan kepentingan peribadi sesetengah pimpinan BN Melaka melalui 'suara akar umbi' untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Perpaduan.
6. AMANAH Tangga Batu juga bersedia menghidupkan segala persiapan dan jentera pilihanraya di dalam semua DUN di Parlimen Tangga Batu untuk berdepan dengan apa juga bentuk persaingan pilihanraya kelak biarpun mungkin terpaksa rakan tahaluf politik semasa.
0 Ulasan