Seorang pengguna TikTok diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor atas tuduhan memfitnah beliau mengamalkan ilmu hitam dalam satu video yang tular dua tahun lalu.
Memetik laporan MalaysiaGazette, perintah itu dikeluarkan selepas Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta berkaitan video yang dimuat naik pada 22 Mac 2023.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dalam keputusan taksiran ganti rugi menyatakan jumlah RM100,000 itu merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
Walau bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Rosmah bagi ganti rugi teladan kerana beliau gagal membuktikan dakwaan tersebut dengan keterangan yang meyakinkan.
Terdahulu, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar pada 28 Mei 2024 setelah pihak defendan tidak mengemukakan memorandum kehadiran untuk menjawab saman.
Pada 19 September 2023, Rosmah memfailkan saman terhadap pemilik akaun TikTok terbabit kerana memuat naik kenyataan yang mencemar nama baiknya serta menggambarkan beliau tidak menzahirkan nilai-nilai Islam.
Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong tuntutan taksiran ganti rugi, Rosmah menjelaskan jumlah RM1 juta yang dituntut adalah wajar berikutan kenyataan fitnah itu menjejaskan imej dan reputasinya secara menyeluruh.
Rosmah turut menyatakan bahawa tuntutan itu mengambil kira kedudukan serta penglibatannya sebagai tokoh masyarakat dan penaung beberapa pertubuhan kebajikan.
Afidavit bertarikh 10 Oktober 2024 turut menyebut bahawa kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik oleh defendan menjadi buah mulut masyarakat.
“Ekoran fitnah yang dimuat naik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.
“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya,” katanya.
0 Ulasan