"Bawalah kudis penyapu ke dalam Bersatu" Pesan Puad kepada Khir Toyo

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyindir penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan mengingatkan agar tidak membawa “legasi penyapu” ke parti tersebut.

Menurut beliau, UMNO tidak rugi sedikit pun dengan tindakan Khir menyertai Bersatu kerana rakyat, khususnya orang Melayu dan penjawat awam, masih belum lupa tindakan simbolik menyampaikan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan ketika era pentadbirannya di Selangor dahulu.

“Semoga Khir Toyo tidak bawa penyapu dalam Bersatu.

“Khir Toyo menyertai Bersatu kerana tidak boleh terima UMNO duduk di bawah ketiak PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). UMNO tidak rugi sesen pun. Bawalah kudis ‘penyapu’ ke dalam Bersatu.

“Akar umbi UMNO, penjawat awam, orang Melayu dan rakyat tidak lupa ‘legasi penyapu’ Khir Toyo masa dia jadi MB dulu. Ia punca UMNO hilang kuasa di Selangor hingga ke hari ini,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Mengulas kenyataan Khir yang mahu UMNO kembali dominan di Selangor, Puad menyifatkan pemikiran politik Khir sebagai ketinggalan zaman.

“Tiba-tiba dia bercakap soal kembali dominan terutamanya di Selangor. Ternyata pemikiran politik Khir Toyo baik dari segi realiti dan taktikal jauh ketinggalan.

“Dominan tidak semestinya UMNO mesti bertanding banyak kerusi dan menang majoriti dua pertiga. Hanya PAP Singapura masih kekal sebagai ‘parti dominan tunggal’ di dunia,” ujarnya.

Katanya, UMNO kini sedang melalui proses pemulihan melalui perkongsian kuasa dan pentadbiran di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang.

“Dominan dalam konteks kongsi kuasa perlu definisi baru, iaitu dominan dalam agenda rakyat, menteri yang berprestasi tinggi, berprinsip dan konsisten. Ia tidak lagi bergantung kepada nombor semata-mata,” jelasnya.

Kata beliau, alasan Khir menyertai Bersatu adalah dangkal dan tersasar daripada realiti politik baharu masa kini.

“Dia sudah tidak lagi relevan dan tidak akan membawa nilai baru kepada Bersatu.

“Politik hari ini memerlukan kebijaksanaan dan kepercayaan. Bukanlah mustahil untuk UMNO kembali dominan. Masakan UMNO boleh memimpin Perak dan Pahang dengan kerusi yang kurang. Ia tidak mustahil boleh berlaku di Selangor,” katanya.

Puad mendakwa Khir Toyo masih bernafsu untuk menjadi calon, dan kecewa kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Sebab itu dia menyertai Bersatu,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan