Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson memohon maaf kepada masyarakat susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di kawasan sekolah sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Dalam kenyataan bersama kelmarin, Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah menjelaskan bahawa tindakan pembetulan telah diambil sebaik sahaja perkara itu dimaklumkan kepada pihak sekolah.
“Kami amat kesal atas kejadian tersebut dan dengan penuh rasa tanggungjawab, memohon maaf kepada masyarakat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada petang 1 Ogos lalu apabila seorang pekerja sekolah yang sedang menjalankan tugas pemasangan bendera sebelum tamat waktu bekerja secara cuai telah memasang salah satu bendera dalam keadaan terbalik.
Kejadian tersebut dirakam oleh orang awam dan dimuat naik ke media sosial sebelum pihak sekolah dimaklumkan mengenainya sekitar pukul 5 petang dan segera membetulkan kedudukan bendera itu.
“Kami mengakui bahawa kesilapan ini adalah tidak disengajakan, namun ia telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam. Kami rasa amat kesal,” jelasnya.
Pihak sekolah juga menegaskan komitmen terhadap pendidikan patriotik dan menghormati simbol negara, malah sepanjang Bulan Kebangsaan ini, pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Pertandingan Hiasan Kelas, Kuiz Hari Kebangsaan, Pertandingan Mewarna, Reka Poster, Fotografi serta Perarakan Patriotik.
Bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang, sekolah akan memperkukuhkan prosedur pemantauan dan meningkatkan tahap kewaspadaan dalam pelaksanaan sebarang aktiviti melibatkan simbol negara.
“Pihak sekolah beriltizam untuk memastikan lambang negara sentiasa dihormati dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
"Kami memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat dan berjanji untuk terus melaksanakan tanggungjawab pendidikan dengan penuh integriti demi maruah negara,” katanya.
0 Ulasan