Jangan cuba politikkan isu Jalur Gemilang terbalik - Anthony Loke

 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meminta semua pihak agar tidak cuba mempolitikkan isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson baru-baru ini.

Menurut beliau yang juga Menteri Pendidikan, perkara itu sedang disiasat oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengenal pasti sama ada insiden berkenaan berlaku dengan sengaja atau sebaliknya.

“Setiap kali ada isu seperti ini (kesilapan memasang Jalur Gemilang) tentu ada orang cuba mempolitikkannya, tetapi kita serahkan kepada KPM membuat siasatan sama ada ia disengajakan atau tidak kerana Jalur Gemilang adalah lambang identiti negara yang perlu dijaga dengan penuh bangga dan hormat.

“Jadi tak perlulah mana-mana pihak cuba mengambil peluang mempolitikkan isu seperti ini,” katanya seperti dilaporkan BH hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Port Dickson telah memohon maaf secara terbuka atas kejadian pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah itu pada 1 Ogos lalu.

Menerusi kenyataan bersama oleh Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, mereka menyifatkan kejadian itu sebagai kecuaian yang tidak disengajakan dan amat dikesali.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menekankan kepentingan semua pihak untuk lebih berwaspada dalam hal pengibaran bendera kebangsaan.

“Kita memang beri peringatan kepada semua orang apabila kibar Jalur Gemilang, pastikan ia dilakukan dengan betul dan hormat, mesti ada sensitiviti.

“Bagaimanapun, kadangkala ada kesilapan mungkin tidak disengajakan dan kita serahkan kepada KPM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

BACA LAGI 




Catat Ulasan

0 Ulasan