PAS memandang serius tindakan polis menjalankan siasatan terhadap editor portal berita MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya susulan laporan polis yang dibuat oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menurut laporan, Abdar Rahman disiasat bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ekoran laporan portal berkenaan mengenai dakwaan skandal pemberian lesen penerokaan mineral di Sabah melibatkan syarikat milik bersama ahli perniagaan tersebut yang juga bekas pegawai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, siasatan itu dilihat berlebihan serta bertujuan menakutkan media daripada mendedahkan salah laku pihak berkepentingan.
“Siasatan polis ini adalah agak berlebih-lebihan dan tampak lebih bertujuan intimidasi untuk mengunci mulut media daripada mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan tertentu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Takiyuddin berkata, kepantasan siasatan itu tidak perlu memandangkan pihak terlibat sudah pun mengambil tindakan dengan membuat penafian, penjelasan serta saman sivil terhadap Abdar Rahman dan portal tersebut.
“Kepantasan siasatan dan hakikat bahawa pihak-pihak yang didakwa terlibat telah pun mengambil tindakan masing-masing menolak laporan media itu sama ada melalui penjelasan, penafian dan saman sivil terhadap Abdar Rahman dan portal berita yang diketuainya menyebabkan siasatan polis yang dijalankan boleh dianggap tidak mendesak atau perlu,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kes melibatkan wartawan Malaysiakini, B. Nantha Kumar yang didakwa bawah Akta SPRM selepas membuat pendedahan berkait kartel kemasukan pekerja asing di KLIA pada Februari lalu.
“Badan penguat kuasa hendaklah mengutamakan dan memberi tumpuan pada pendedahan salah laku atau perbuatan jenayah yang didakwa berlaku, bukannya menyasarkan wartawan dan media yang melaporkannya,” katanya.
Takiyuddin menegaskan, tindakan seumpama itu jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara dan peranan media sebagai tonggak demokrasi.
“Tindakan sebegini oleh badan penguat kuasa boleh dilihat sebagai langkah mundur yang bertentangan dengan peranan wartawan dan media sebagai tonggak penting demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang.
“Profesionalisme dan integriti badan-badan penguat kuasa bukan sahaja mesti dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak tanpa memilih bulu, tetapi juga dijamin bebas daripada semua bentuk campur tangan dan pengaruh luar tidak sah,” katanya.
0 Ulasan