Wanita UMNO Selangor kesal PKR terima keahlian Tengku Zafrul

 


Wanita UMNO Selangor kesal dengan tindakan PKR menerima permohonan keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ketuanya, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berkata, pihaknya berpegang kepada pendirian rasmi parti seperti dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 30 Mei lalu.

“Kami sependapat bahawa tindakan menerima ahli daripada parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan secara sewenang-wenangnya adalah sesuatu yang tidak wajar dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan antara parti-parti dalam gabungan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai PKR telah diterima dua minggu lalu.

Beliau kini merupakan ahli PKR Cabang Ampang.

Menurut Halimaton Saadiah, perpaduan dan kesetiaan antara parti gabungan perlu dijunjung tinggi demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.

“Tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan prasangka buruk dan prejudis dalam kalangan ahli akar umbi, malah ia turut menjejaskan imej kesungguhan dan keikhlasan kerjasama yang selama ini dibina dengan penuh harapan.

“Sehubungan itu, Wanita UMNO Selangor menegaskan agar semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menghormati semangat kesetiaan dan integriti politik demi menjaga kestabilan dan keutuhan gabungan,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan