Berapa lama PH mampu bertahan dalam ujian kuasa? - Puad

 

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membangkitkan persoalan berapa lama PH mampu bertahan dalam 'ujian kuasa'.

Menurut beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja selaku Perdana Menteri ketujuh diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan.

Mohd. Puad berkata, kini tiba giliran PH yang menyaksikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli paling cepat tersisih.

"Hilang jawatan parti dan Menteri. Bukan rakyat tolak tetapi persaingan dalam parti," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau menambah, kuasa menyebabkan pekung di dada beberap individu dan parti terdedah, sama ada mereka gagal berprestasi atau gagal menunaikan janji. 

Mohd. Puad memberitahu, PN sedar betapa ruginya dapat sekejap menikmati kuasa. 

Menurut beliau, semua pihak mahu kembali berkuasa. 

"PN paling terdesak. Kalau boleh tebuk atap. PN sedia berkawan dengan HINDRAF, URIMAL, MCA dan MIC demi kuasa,"  katanya.

Mohd. Puad berkata, Rafizi cuba menghidupkan kembali idealisme reformasi melalui HIRUK. 

"Dia menyerang partinya. PKR boleh kucar kacir kerananya. Kembali menguasai PKR lebih baik daripada tubuh parti baru," jelasnya.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Dr. Mahathir mampu menjadi pencatur kuasa sekali lagi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dia mungkin kowtow Najib sepertimana dia hantar Daim (Allahyarham Tun Daim Zainuddin) ke Penjara Sungai Buloh jumpa Anwar?

"Antara Tun M, Rafizi, Muhyiddin, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, jangan lupa ada individu yang lebih tinggi kasyafnya. Dia boleh jadi penentu," katanya.

BACA LAGI 




Catat Ulasan

0 Ulasan