Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli menjelaskan isu kebakaran kereta Toyota Vellfire yang digunakannya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) baru-baru ini.
Menurut beliau, kenderaan tersebut merupakan Toyota Vellfire ANH20, tahun 2010 (2.4L), sebuah model MPV yang telah berusia lebih 15 tahun.
Katanya, kereta itu asalnya diwakafkan kepada PAS Kawasan Dungun pada tahun 2022, namun tidak lagi mampu ditanggung kos penyelenggaraannya oleh organisasi berkenaan.
“Atas sebab itu, mesyuarat PAS Kawasan Dungun memutuskan untuk menjual kereta ini.
"Harga jualan dipersetujui secara munasabah, selari dengan nilai pasaran sekitar RM45,000 hingga RM65,000, dan ditawarkan kepada saya,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Beliau berkata, harga jualan yang ditetapkan adalah RM60,000 dan dibayar secara ansuran sebanyak enam kali.
“Tujuan saya membeli kereta ini adalah semata-mata untuk memudahkan urusan harian seperti menghadiri kuliah, mesyuarat bersama masyarakat serta melaksanakan tanggungjawab saya di Parlimen,” jelasnya.
Wan Hassan berharap penjelasan itu dapat meluruskan persepsi kurang tepat serta mengelakkan fitnah yang boleh menjejaskan imej dan reputasi.
Beliau turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat kerana tidak semua yang tular dalam media sosial adalah benar.
0 Ulasan