Kerajaan mengambil maklum laporan mengenai beberapa wakil rakyat menerima e-mel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, e-mel tersebut mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak AS100,000.
“Hasil semakan mendapati e-mel berkenaan menggunakan ayat yang hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat e-mel yang sama,” katanya dalam kenyataan semalam.
Antara wakil rakyat yang menerima e-mel tersebut ialah Datuk Seri Rafizi Ramli, Wong Chen, Dr. Taufiq Johari, Adam Adli Abd. Halim, Najwan Halimi, Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen dan Dr. Fahmi Ngah.
Fahmi turut mengesahkan beliau sendiri menerima e-mel sama.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar e-mel ugutan tersebut melalui aplikasi Gmail.
Beliau menegaskan menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
"Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat,” katanya.
Sementara itu, PDRM dalam kenyataan media mengesahkan telah menerima laporan berhubung ugutan tersebut daripada Wong Chen, Senator Datuk Nelson Angang, Wong Chia Zen dan Taufiq.
0 Ulasan