Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membangkitkan persoalan sama ada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mampu memimpin Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS dan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mahu parti itu menerajui PN.
"Betullah. Sampai bila PAS umpama kerbau dicucuk hidung. Selama ini PAS hanya menjadi kuda tunggangan Bersatu.
"Sedangkan dari segi ahli, jentera, kekuatan akar umbi dan jumlah kerusi PAS lebih dominan berbanding Bersatu. Macam langit dengan bumi," katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Mohd. Puad menambah, parti-parti nyamuk dalam PN seperti Gerakan, MIPP, Hindraf dan Urimai juga mahu menggunakan PAS untuk mendapatkan undi orang Melayu.
Namun, beliau yakin mereka lebih selesa Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin PN bukannya Abdul Hadi.
"Masalahnya, bolehkah Haji Hadi memimpin PN? Dia menang Presiden PAS tanpa bertanding. Kecuali PAS umum segera calon PM mereka.
"PAS kata mereka ada 2-3 lori calon PM. Umumlah. Jika tidak, PAS sendiri tidak berani memimpin PN," katanya.
0 Ulasan