Jabatan Peguam Negara mengesahkan menerima laporan penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sejumlah wang tunai yang disita pada 20 Februari lalu, melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya, Datuk Anuar Mohd. Yunus.
Menurut kenyataan jabatan tersebut semalam, tindakan pelucuthakan harta kepada kerajaan tanpa pendakwaan terhadap wang tunai berkenaan telah diambil oleh SPRM selaras dengan peruntukan undang-undang.
“Jabatan ini menegaskan bahawa siasatan dan proses pelucuthakan harta serta pertuduhan jenayah merupakan dua aspek berbeza.
"Walaupun tindakan pelucuthakan telah dimulakan oleh SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan tersebut,” katanya.
Kenyataan itu menambah, penelitian akan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keterangan dan elemen pembuktian kes sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat ditentukan.
Sebarang keputusan berkaitan kes tersebut akan dimaklumkan selepas penelitian laporan siasatan selesai.
Pada 20 Februari lalu, SPRM menyita wang tunai berjumlah lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah premis yang dikaitkan dengan Anuar, dipercayai berkaitan dengan aktiviti kewangan tidak teratur.
Serbuan itu dijalankan selepas beberapa laporan diterima mengenai aliran dana mencurigakan yang melibatkan individu berprofil tinggi.
Siasatan turut menjurus kepada Ismail Sabri berikutan dakwaan bahawa sebahagian dana berkenaan digunakan untuk tujuan politik.
SPRM kemudian memohon perintah mahkamah bagi melaksanakan pelucuthakan harta tanpa pendakwaan, sementara laporan penuh siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 12 September.
0 Ulasan