Mansuh matrikulasi: PDRM terima 4 laporan terhadap UMANY


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima empat laporan berhubung kenyataan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang didakwa mencetuskan kegentaran awam.

Kenyataan itu dibuat oleh presidennya, Tang Yi Ze melalui portal Malaysiakini yang menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai syarat tunggal kemasukan ke universiti awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, laporan pertama diterima pada 12 September lalu dan setakat ini terdapat empat laporan dibuat pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan berkenaan.

“Kenyataan tersebut boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Beliau menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan memberi jaminan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan sama ada di ruang awam atau media sosial.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan