Polis telah memulakan siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dewan IDCC, Seksyen 15, Shah Alam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.18 pagi oleh Ketua Keselamatan parti itu.
“Pengadu yang sedang bertugas ketika ucapan Presiden Bersatu melihat dua lelaki Melayu yang juga ahli parti bangun dan menjerit mengganggu ucapan presiden.
“Pengadu kemudian pergi ke arah salah seorang lelaki itu bagi menenangkannya namun telah ditarik dari belakang sehingga jatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Jelas beliau, kekecohan itu berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli Bersatu lain yang membawa keluar kedua-dua lelaki berkenaan, manakala persidangan diteruskan seperti biasa.
“Pengadu atau mana-mana pihak tidak mengalami apa-apa kecederaan dan tiada kerosakan harta benda dilaporkan,” ujarnya.
Menurut Mohd. Iqbal, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,” katanya.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd. Afandi Ahmad di talian 016-7252948.
0 Ulasan