Tian Chua dakwa Suria KLCC larang simbol berkaitan Palestin

 

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua mendakwa pengurusan Suria KLCC bertindak menghalang kemasukan peserta perhimpunan Anti-Trump ke pusat beli-belah itu selepas himpunan berakhir, Sabtu lalu.

Beliau berkata, kenyataan media yang dikeluarkan Suria KLCC semalam mengandungi maklumat tidak tepat berhubung insiden tersebut.

“Memandangkan perdebatan hangat yang timbul di media sosial, saya merasakan adalah perlu untuk mengemukakan penjelasan berasaskan fakta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, perarakan Palestin tamat di Esplanade, Taman KLCC sekitar pukul 7 malam sebelum peserta mula bersurai.

“Ketika itu, beberapa puluhan individu cuba memasuki Suria KLCC untuk ke tandas, makan atau beli-belah. 

"Malangnya kemasukan mereka telah dihalang oleh pegawai keselamatan yang menyatakan sesiapa yang memakai lencana, keffiyeh, atau membawa plakad dan bendera tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau mendakwa, pegawai keselamatan turut menegaskan simbol berkaitan Palestin tidak dibenarkan di dalam pusat beli-belah.

“Saya mengingatkan mereka bahawa mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menentukan apa yang boleh dipakai atau dibawa oleh orang awam. 

"Saya memberi isyarat kepada peserta untuk masuk secara aman, namun sekatan terus dikenakan sehingga tercetus sedikit ketegangan,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, katanya, seorang pegawai keselamatan telah mengarahkan rakannya merampas bendera Palestin daripada seorang wanita.

“Saya membantah keras, menegaskan bahawa pegawai keselamatan tidak mempunyai hak undang-undang untuk merampas barangan peribadi. 

"Saya mengambil bendera tersebut ke dalam pegangan saya dan menyatakan bahawa saya sendiri akan membawanya keluar,” katanya.

Beliau mendakwa beberapa lelaki kemudiannya cuba merampas bendera berkenaan secara paksa sehingga berlaku pertelingkahan.

“Bagi meredakan keadaan, saya mencadangkan agar bendera itu dipisahkan daripada kayunya. Kayu diserahkan kepada mereka manakala bendera akan saya bawa keluar sendiri. 

"Namun sekali lagi pegawai keselamatan cuba merampas bendera dengan paksa malah menolak saya secara fizikal,” katanya.

Jelas beliau, insiden itu menimbulkan kebimbangan kerana melibatkan soal hak asasi, maruah serta kebebasan bersuara.

“Yang paling serius, cubaan untuk merampas barangan peribadi adalah satu perampasan harta secara tidak sah. 

"Di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, penahanan atau pengambilan harta seseorang tanpa justifikasi undang-undang adalah merupakan kecurian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut Suria KLCC menjalankan siasatan telus, menyemak semula protokol keselamatan dan memohon maaf secara terbuka kepada peserta yang terjejas.

“Saya amat berharap insiden ini berpunca daripada tindakan keterlaluan pegawai tertentu, dan bukannya satu dasar yang disengajakan untuk menyekat solidariti terhadap Palestin. 

"Walau bagaimanapun, tanggungjawab sepenuhnya tetap terletak pada pihak pengurusan untuk memperbetulkan keadaan serta memastikan perkara sebegini tidak berulang,” ujarnya.

Tian Chua turut menggesa Suria KLCC agar menyelaraskan pendirian dengan dasar rasmi kerajaan yang konsisten menyokong rakyat Palestin.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan