Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan yang melibatkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan isu pemberian subsidi RON95.
Menurutnya, semakan awal terhadap kandungan yang tular di platform media sosial telah dilaksanakan, melibatkan kerjasama daripada penyedia platform berkenaan.
Walau bagaimanapun, SKMM masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak TikTok bagi melengkapkan siasatan.
"Sehingga kini, hasil siasatan yang diperoleh telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian serta arahan selanjutnya.
"SKMM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan dengan penuh integriti dan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada 5 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Muhyiddin menafikan dakwaan itu.
0 Ulasan