Agenda Payung Besar hanya jadi kenyataan jika orang Melayu bersatu

 


Agenda ‘Payung Besar’ yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya akan berjaya sekiranya seluruh orang Melayu bersatu hati dan mengetepikan kepentingan politik sempit.

Menurut Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, asas yang diletakkan Dr. Mahathir merupakan langkah terbaik ke arah penyatuan orang Melayu di luar kerangka politik kepartian demi memperkasakan kedudukan bangsa dan agama Islam di tanah air.

“Agenda kepentingan politik harus diketepikan buat masa ini dan penyatuan Melayu mesti berlaku atas keikhlasan semua pihak untuk memperkasakan kedudukan Melayu serta Islam di tanah air kita.

“Orang-orang Melayu yang berpartian mesti ketepikan kepentingan agenda politik tetapi meletakkan agenda Melayu dan syiar Islam di atas segalanya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khairuddin berkata, saranan Dr. Mahathir amat bertepatan dengan realiti semasa kerana penyatuan bangsa itu sukar dicapai dalam kerangka politik, namun semangat kebangsaan mampu menyatukan orang Melayu dengan mudah.

“Tidak ada ertinya kepada orang-orang Melayu sekiranya kita ‘menang sorak kampung tergadai’ dan ‘menang jadi arang kalah jadi abu’. 

"Nasib Melayu kini dapatlah diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dan ‘retak menanti belah’,” ujarnya.

Beliau turut memetik peringatan Dr. Mahathir bahawa sekiranya orang Melayu terus berbalah, bangsa itu berisiko kehilangan tanah air sendiri dalam tempoh sedekad akan datang.

“Saya agak lama dengan perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan memerhati segala peri nasihatnya secara terperinci. 

"Selalunya ramalan Tun Dr. Mahathir Mohamad amat tepat serta pasti berlaku cuma masa ketika saja yang bakal menentukannya,” katanya.

Jelas Khairuddin, pengalaman luas Dr. Mahathir dalam dunia politik sejak 1946 menjadikan pandangannya bernas dan berasaskan pemerhatian mendalam terhadap perjalanan bangsa dan negara.

“Mantan Perdana Menteri dua kali ini sejak kebelakangan ini amat risau tentang kedudukan kekuatan kuasa politik Melayu yang semakin terhakis. 

"Kita sudah hilang kuasa ekonomi sejak azali lagi dan sekiranya kita hilang pula kuasa politik maka ini akan membawa makna orang-orang Melayu bakal hilang tanah Melayu ini buat selamanya,” katanya.

Tambah beliau, kehilangan kuasa politik dan ekonomi akibat kealpaan serta keangkuhan bangsa sendiri akan menjadi pengkhianatan besar kepada generasi akan datang.

“Jangan mimpi kita akan mampu untuk menawan semula tanah Melayu ini sekali kita hilang kuasa politik serta ekonomi kepada orang lain.

"Andaikata perkara ini berlaku atas kealpaan serta keangkuhan maka kita adalah pengkhianat yang berdosa kepada keseluruhan anak cucu,” tegasnya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan